Side Views

Percaturan politik MIC pastikan kemenangan — Kasthuri Jeevendran dan Sheila Rani Chandrasekaran

13 OKT — Desas-desus yang mengatakan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel mungkin bertanding di Cameron Highlands menggantikan Datuk S.K. Devamany mungkin sekadar cakap-cakap kosong.

Ini berikutan berita terbaru daripada sumber tertinggi MIC yang mengesahkan beliau tidak akan bertanding mana-mana kerusi pada pilihan raya depan kerana perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada kemenangan besar MIC pada pilihan raya akan datang.

“Palanivel diberi arahan khas supaya memastikan sokongan serta kepercayaan pengundi India di negara ini kembali berpihak kepada MIC selepas perjumpaan kelapan beliau berhubung senarai calon dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini. “Dengan arahan ini kami pasti beliau tidak akan bertanding tetapi akan lebih memberi tumpuan mencari calon ‘winnable candidate’ yang mampu mengembalikan maruah MIC yang terjejas pada PRU 2008,” kata sumber tersebut.

Berita terbaru itu juga ada logiknya kerana baru-baru ini, dalam sidang akhbar Palanivel ada menyatakan hasrat yang sama ketika diajukan soalan oleh pemberita berkaitan kerusi yang mungkin ditanding oleh beliau.

“Saya rasa di mana saya akan bertanding bukan sesuatu yang penting ketika ini kerana saat ini saya hanya ingin memberikan komitmen yang tidak terhingga kepada parti. Sebagai Presiden, ada banyak lagi perkara harus saya selesaikan, soal kawasan mana saya hendak bertanding adalah perkara yang terakhir yang mahu saya fikirkan.

“Saya juga tidak pernah menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Cameron Highlands,” katanya.

Andai kenyataan tersebut adalah muktamad, Palanivel juga akan seiring dengan Presiden parti komponen lain iaitu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan PPP, Datuk Seri M. Kavyeas yang juga mengambil keputusan muktamad untuk tidak bertanding pada PRU 13 demi memberi ruang kepada calon lebih muda selain memberi tumpuan khas kepada parti masing-masing untuk meraih kemenangan.

Sebenarnya dengan kehadiran Palanivel selaku Presiden MIC menggantikan Datuk Seri S. Samy Vellu, adalah juga dijangka kemenangan akan lebih berpihak kepada MIC kerana sokongan masyarakat India terhadap BN semakin meningkat berdasarkan maklum balas yang diterima. Kekalahan teruk pada PRU 2008 merupakan titik hitam buat MIC. MIC kalah kerana pembangkang banyak bermain emosi masyarakat India untuk berpaling tadah kepada pihak lawan.

Spekulasi siapakah yang akan dicalonkan bagi kerusi tradisi MIC, Sungai Siput yang juga merupakan kerusi paling ramai majoriti kaum India mungkin dapat dijangka oleh kebanyakan pemerhati politik.

Menurut sumber, Ketua Pemuda MIC, T. Mohan pula dijangka menjadi calon “favourite” MIC terutamanya warga Sungai Siput untuk merebut kembali kerusi tersebut daripada pembangkang, Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Seperti yang umum maklum, T. Mohan merupakan antara pemimpin MIC yang dikatakan begitu lantang bercakap berhubung pelbagai isu tanpa perasaan gentar sejak zaman Samy Vellu. Beliau juga dikatakan antara pemimpin yang disenangi oleh masyarakat India di negara ini.

Sebelum ini, Samy Vellu yang merupakan bekas Presiden MIC, bertanding bagi kerusi Parlimen Sungai Siput mulai 1974 hingga pilihan raya umum 2008 apabila kalah kepada Dr Jeyakumar.

Timbul juga khabar anak kepada Samy Vellu, Vel Pari bakal menjadi calon Sungai Siput menggantikan bapanya namun beliau telah menolak untuk bertanding ketika dihubungi penulis baru-baru ini.

“Saya rasa diri saya belum cukup stabil untuk menjadi pemimpin di Sungai Siput walaupun saya dan bapa sering bersama masyarakat di sana. Warga Sungai Siput masih mahu ayah saya bertanding di situ, kebanyakan mereka berasa bersalah kerana telah berpihak kepada pembangkang tetapi akhirnya pembangkang sendiri mengabaikan mereka.

“Andainya T. Mohan menjadi calon di Sungai Siput, saya yakin beliau dapat mencapai kemenangan yang besar kerana beliau juga digemari di Sungai Siput kerana kelantangan beliau selain menjadi jaguh dalam membela nasib golongan miskin serta luar bandar. Saya juga yakin restu ayah saya untuk T. Mohan,” katanya.

Sehingga awal tahun ini, terdapat 11,066 pengundi India di Sungai Siput dengan MIC mempunyai 8,500 anggota di kawasan itu. MIC Bahagian itu memohon untuk membuka 23 cawangan baru dan ia menunjukkan sokongan berterusan kaum India terhadap MIC dan BN.

MIC dijangka bertanding di beberapa kawasan seperti Cameron Highlands (Pahang), Segamat (Johor), Tapah, Sungai Siput (Perak), Teluk Kemang (Negri Sembilan), Kota Raja, Kapar dan Subang (Selangor) bagi kerusi Parlimen.

Sementara itu, bagi kerusi di ADUN pula, parti tersebut dijangka bertanding di beberapa kawasan iaitu Gambir, Kahang, Permas (Johor), Asahan (Melaka), Sabai (Pahang), Prai, Bagan Dalam (Pulau Pinang), Bukit Selambau, Lunas (Kedah), Sungkai, Hutan Melintang, Pasir Panjang, Behrang (Perak), Port Dickson, Jeram Padang (Negri Sembilan), Batu Caves, Seri Andalas, Ijok (Selangor).

Bagi calon dalam MIC, kedudukan kerusi masih menjadi tanda tanya walaupun Palanivel telah mengesahkan akan terdapat beberapa calon untuk beberapa kerusi.

Walau apapun, diharap MIC akan kembali menebus maruah kekalahan pada PRU kali ini. Dengan berbekalkan semangat serta sokongan tidak terhingga daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang begitu mengambil berat tentang hala tuju masyarakat India negara ini, maka kemenangan besar pasti akan berpihak kepada mereka. — Utusan Malaysia

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

 

Comments