Side Views

Perkasa bukan musuh BN, Umno — Nizam Yatim

June 29, 2012

28 JUN — Pada masa sekarang, usia Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) telah mencecah lebih tiga tahun. Pada usia semuda berkenaan, mungkin banyak pihak menganggap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tidak penting dan tidak memberikan sumbangan besar kepada negara.

Tanggapan itu, sebenarnya adalah tidak benar kerana evolusi perjuangan Perkasa agak berlainan.

Mengungkap kembali kata-kata Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, iaitu apabila NGO itu lahir, ia tidak pernah pun belajar untuk berjalan, sebaliknya terus berlari.

Perkasa terpaksa berlari, kerana ia lahir ketika orang Melayu sedang menghadapi ancaman cukup besar setelah Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh Umno tidak memperoleh dua pertiga kerusi di Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008. Ia berlaku, berikutan terdapat di kalangan orang Melayu sendiri yang sanggup menjadi tali-barut kaum lain bagi meruntuhkan kuasa Melayu, Islam serta institusi beraja yang menjadi teras kepada Perlembagaan negara.

Ibrahim dengan perasaan sebak dan penuh beremosi berkata, pembangkang belum pun menguasai dua pertiga majoriti kerusi, sudah banyak menimbulkan kekecohan sehingga Islam dihina, orang Melayu dikeji dan raja dipijak.

Sehubungan itu, katanya, ahli-ahli NGO itu perlu bekerja keras bagi memastikan kerajaan BN sedia ada menang dua pertiga dan negeri yang kalah pada pilihan raya umum lalu dikembalikan.

Beliau membuat seruan berkenaan ketika berucap menutup program permukiman selama dua hari yang dihadiri kira-kira 300 pimpinan Perkasa pusat, negeri dan daerah di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Program berkenaan bertemakan “Pertajamkan Perjuangan Bangsa: Kesan dan Cabaran PRU-13”.

Ibrahim berkata, orang Melayu di negara ini perlu bijak memilih sama ada Umno ataupun PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Adakah orang Melayu mahukan parti yang menjadi tali barut dan kuda tunggangan DAP atau parti Melayu yang telah terbukti memimpin negara sejak 55 tahun lalu, mereka tiada pilihan lain?” ujarnya.

Menurut Ibrahim lagi, ahli-ahli Perkasa tidak boleh bersikap bermusuh dengan pimpinan BN dan Umno.

“Saya sedar ketika dialog ada pimpinan peringkat negeri dan daerah yang meluahkan kekecewaan apabila terdapat pemimpin Umno tertentu yang bersikap ‘geli’ dan tidak dapat menerima Perkasa.

“Saya juga berharap jangan ada di kalangan kita yang masih mempertikaikan ke mana perginya Pemuda Umno ketika kita berkumpul di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Singapura bagi menghantar nota bantahan berhubung tindakan tiga diplomatnya menyertai perhimpunan Bersih 3.0,” katanya.

Sebenarnya walaupun usia Perkasa masih muda, semangat pimpinan dan ahlinya untuk memperjuangkan nasib orang Melayu, Islam serta institusi beraja memang cukup hebat.

Semangat itu jelas terserlah apabila setiap program ketika permukiman itu mendapat sambutan menggalakkan termasuk qiamullail, kuliah Subuh dan kuliah Maghrib.

Ibrahim yang sempat berseloroh ketika ucapan penutupnya berkata, beliau telah membuat pemeriksaan mengejut bagi memastikan tiada peserta yang “terbabas” memasuki spa yang terletak berhampiran dewan diadakan program itu dan beliau bersyukur kerana perkara itu tidak berlaku.

Dalam pada itu, dakwaan pembangkang bahawa Perkasa adalah NGO rasis terbukti tidak benar apabila segala perbincangan dan pandangan berkaitan isu ekonomi, pendidikan, politik dan keselamatan sepanjang permukiman adalah berdasarkan fakta-fakta ilmiah.

Antara ilmuwan yang terlibat memberikan ceramah ialah tokoh akademik Islam, Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid; sejarawan, Prof Datuk Dr Ramlah Adam; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; bekas Ketua Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan-Jeneral (B) Datuk Salleh Ismail; Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial E2(M) Bukit Aman, Datuk Awaludin Jadid dan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Ali.

Menurut Ibrahim, dakwaan Perkasa bersikap perkauman adalah tidak benar kerana pihaknya menyedari perlunya kerjasama dengan kaum lain.

“Saya akui ketika mula-mula ditubuhkan, Perkasa agak laju sedikit sehingga kita dituduh rasis. Ini berlaku ketika kita cuba memperkukuhkan NGO ini dan mahu peranannya diketahui semua orang.

“Kini Perkasa telah memasuki tahap kedua perjuangan bagi memastikan BN menang besar dan bagi mencapai matlamat ini kita perlu menerima hakikat kita memerlukan sokongan kaum Cina dan India.

“Oleh itu, saya mahu semua pimpinan Perkasa dapat menjaga sensitiviti semua kaum dan jangan timbul sama sekali dakwaan BN kalah pilihan raya kerana tindakan pimpinan Perkasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, tumpuan setiap ahli Perkasa kini dalam tempoh beberapa bulan sebelum PRU-13 adalah untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat “dihapus” dari segi politik.

Sementara itu, apabila menulis mengenai perjuangan Perkasa, kita tidak boleh mengelak untuk menyentuh pandangan penulis Amerika Syarikat (AS), Dolores Cannon yang sering meramalkan trend baru yang akan berlaku pada masa depan.

Dalam buku terbarunya pada 2011 bertajuk “The Three Waves of Volunteers and the New Earth” beliau meramalkan akan berlaku satu kebangkitan besar-besaran gerakan sukarelawan di setiap negara dengan matlamat mewujudkan dunia baru bagi menggantikan dunia lama. Antara ciri-ciri gerakan dunia baru adalah berpegang kepada prinsip-prinsip keadilan, kasih sayang dan tidak tamak untuk mengejar habuan wang ringgit dan jawatan besar.

Pendokong gerakan dunia lama seperti dipelopori pihak pembangkang pula menekankan perjuangan yang berasaskan kepada kebencian, dendam, inginkan pangkat, kekuasaan dan mengaut kekayaan duniawi sebanyak mungkin.

Ciri-ciri pendokong dunia baru jelas kelihatan di kalangan pimpinan Perkasa terutama semasa mereka dengan penuh hiba menyanyikan lagu Anak Kecil Bermain Api ketika program permukiman berkenaan. — Utusan Malaysia

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

Talk of the web