Side Views

Pilihanraya presiden Mesir: Siapakah juaranya? — Maszlee Malik

April 07, 2012

7 APRIL — Sewaktu saya menjalankan kajian di Mesir pada pertengahan bulan sehingga hujung bulan Mac yang lalu, masyarakat Mesir terlalu sibuk dengan banyak perkara. Antara perkara yang utamanya ialah kekurangan bekalan bakar di pasaran. Selain daripada itu, kehadiran pelancong asing yang telah jauh berkurangan telah menjejaskan mata pencarian sebilangan besar penduduk Mesir, yang mana industri pelancongan merupakan di antara industri utama di negara Firaun tersebut. Keadaan ekonomi yang tidak stabil selepas revolusi juga telah menyebabkan rakyat bawahan ramai yang mula sangsi mengenai keberkesanan revolusi dan untungnya kepada kehidupan mereka.

Jika itu halnya bagi masyarakat bawahan, bagi golongan pertengahan ke atas, mereka lebih sibuk dengan keadaan politik Mesir yang begitu gawat. Biarpun kebebasan dapat dirasakan di seluruh Mesir berbanding tahun-tahun ataupun dekad-dekad sebelumnya, namun ianya tidak menjamin kestabilan politik negara berkenaan. Dua isu utama yang menjadi tajuk perbincangan di seluruh negara Mesir, iaitu isu jawatankuasa penggubalan perlembagaan baru Mesir dan juga pilihanraya presiden Mesir. Buat pertama kalinya semenjak zaman Firaun barangkali, rakyat Mesir merasakan mereka dihak upayakan untuk menentukan masa depan mereka sendiri di dalam kedua-dua isu tersebut. Hal ini dapat dirasakan melalui wawancara rambang bersama masyarakat Mesir dari pelbagai lapisan dan latar belakang.

“Inilah kali pertama kami tidak tahu siapakah yang paling layak untuk menjadi presiden Mesir, tetapi yang menariknya, kamilah yang akan membuat pilihan tersebut!”, ini merupakan jawapan yang seragam diberikan oleh rakyat Mesir jika ditanyakan tentang perasaan mereka mengenai pilihanraya presiden yang bakal menjelang. Pihak berkuasa tentera yang menguasai negara berkenaan menjanjikan bulan Jun sebagai tarikh pilihanraya yang bakal menentukan masa depan Mesir. Mana tidaknya, presiden mempunyai kuasa mutlak untuk membentuk kerajaan menurut perlembagaan Mesir, dan bukannya parlimen. Sebab itulah, walaupun parti al-Huriyyah wal ‘Adalah (FJP), sayap politik kumpulan Ikhwanul Muslimun (IM) memenangi majority kerusi parlimen, namun mereka tidak mempunyai kuasa untuk membentuk kabinet.

Berbalik kepada pilihanraya presiden, rakyat Mesir kini menyaksikan buat kali pertamanya pertandingan sebenar jawatan yang paling penting di dalam Negara pengeluar kapas terbesar di Afrika itu. Sehingga tarikh kini, terdapat lebih seratus nama yang menawarkan diri untuk bertanding di dalam pilihanraya tersebut. Walau bagaimanapun tumpuan rakyat adalah lebih kepada calon-calon ‘heavyweight’ yang telah menyerikan suasana pilihanraya yang bakal menjelang tersebut. Malah di kalangan ‘heavyweight’ tersebut, terdapat saki baki fuloul (tali barut) rejim Mubarak seperti mantan menteri luar dan juga pengerusi liga Arab, Amru Musa; mantan menteri pelancongan kabinet Mubarak, Ahmad Syafiq, anggota parti Mubarak yang lama, Hamdin Sabahi, Omar Suleyman, calom tentera dan juga beberapa wakil liberal. Walau bagaimanapun kebanyakan mereka dilihat sebagai ‘underdog’ berbanding calon-calon Islamis yang dijangkakan bakal mendapatkan undi majority dari rakyat berdasarkan pencapaian cemerlang golongan Islamis yang telah Berjaya menguasai dua pertiga daripada kerusi parlimen pada pilihanraya umum yang lalu.

Tumpuan yang diberikan samada oleh media tempatan ataupun di rantau Arab pula ialah kepada calon-calon ‘besar’ dari arus Islam, seperti mantan pimpinan kanan kumpulan Ikhwanul Muslimun yang telah dipecat dari kumpulan tersebut kerana mencalonkan dirinya untuk bertanding jawatan presiden, iaitu Dr Abdel Monem Abul Futouh; serta calon yang paling glamer, Hazem Salah Abu Ismail, iaitu calon dari arus Salafi yang berlatarbelakangkan Ikhwan, di mana bapanya merupakan di antara anggota aprlimen Ikhwan yang terkenal; calon kelompok intelek Mesir, iaitu Dr Muhammad Salem al-Ewwa, yang juga merupakan mantan setiausaha persatuan Ulama sedunia di bawah pimpinan Dr Yusuf al-Qaradawi; dan yang terkini calon dari IM, iaitu Ir. Khayrat Shater. Di kalangan mereka semua, ternyata gerakerja kempen dan juga populariti yang paling tinggi sehingga hari ini adalah di pihak Hazem Abu Ismail. Malah jika kumpulan Salafi memberikan sokongan kepada beliau, beliau dilihat mempunyai potensi yang amat besar untuk memenangi pilihanraya tersebut. Malangnya sehingga hari ini, kumpulan Salafi masih tidak bersatu suara di dalam memberikan sokongan kepadanya.

Sewaktu saya masih berada di Mesir, pencalonan Ir. Khayrat Shater masih lagi belum muktamad dan masih lagi sekadar cadangan dan khabar angin. Pada waktu itu, kelihatan majlis tertinggi IM, iaitu Maktab Irshad dan juga Majlis Shura IM yang diwakili oleh perwakilan IM dari seluruh Mesir bersidang dengan begitu kerap sekali. Ini dapat dilihat ketika kunjungan saya sebanyak tiga kali ke ibu pejabat bari pertubuhan tersebut di Moqatam, Kaherah. Di peringkat parti juga, parti milik mereka, FJP juga tidak kurang sibuknya. Hal ini timbul setelah pihak tentera yang sebelum ini mempunyai hubungan yang baik dengan IM sewaktu dan selepas pilihanraya parlimen berlangsung telah menukar sikap mereka unutk berkonfrantasi dengan IM. Hal ini timbul setelah IM menyedari bahawa pihak tentera tidak mahu melepaskan kuasa mereka dengan membenarkan parlimen membentuk kabinet baru untuk meneraju kerajaan Mesir.

Malah lebih parah lagi, pihak berkuasa tentera (SCAF) yang memegang tampuk kuasa menggantikan presiden telah menunjukkan taring mereka dengan mengugut untuk membubarkan parlimen lewat pertelingkahan yang timbul di antara pihak Ikhwan dengan mereka berkaitan jawatankuasa penggubalan perlembagaan yang baru. Isu tersebut timbul apabila pihak Islamis di parlimen, iaitu IM dan juga golongan Salafi dari Hizb al-Nour telah mendominasi jawatankuasa perlembagaan baru Mesir (dengan 48 peratus wakil dari 100 orang yang teah dipilih). Hal ini telah menyebabkan sesetengah pihak tidak berpuas hati lantas meninggalkan jawatankuasa berkenaan dan memboikotnya termasuk wakil dari al-Azhar dan gereja Koptik. Lebih parah lagi, mereka telah membawanya ke muka pengadilan untuk dibubarkan dan ditubuhkan jawatankuasa baru yang dianggotai oleh semua pihak dan bukan didominasi oleh puak Islamis semata-mata. IM menyedari bahawa pihak SCAF hanya menangguk di air yang keruh. Melihat kepada kuasa tentera yang tidak terbatas, dan juga keengganan tentera menyerahkan kuasa kepada rakyat, pihak IM telah membuat keputusan yang drastik berkaitan pilihanraya presiden.

Walaupun pada asalnya, IM berjanji kepada rakyat Mesir untuk tidak meletakkan calon mereka di dalam pilihanraya presiden yang bakal menjelang, namun mereka terpaksa melanggar janji tersebut. Demi menyelamatkan negara Mesir dari terus dikuasai oleh tentera, mereka telah mencalonkan Ir. Khayrat Shatir pada penghujung bulan Mac. Pengumuman telah dilakukan oleh Murshidul Am IM sendiri, iaitu Dr Mohammad Bade’. Hal ini telah memeranjatkan banyak pihak, termasuk dari kalangan ahli IM sendiri. Walaupun majoriti ahli IM akan mengambil sikap taat dan patuh kepada kepimpinan mereka, namun sebilangan besar mereka terpkasa melakukannya dengan hati yang berat. Melalui wawancara yang telah saya lakukan bersama anggota-anggota IM samada dari kalangan pemuda, kepimpinan di peringkat pertengahan, mahupun dari kalangan professional, kebanyakan mereka secara peribadi lebih memilih Dr Abul Futouh untuk menjadi presiden Mesir. Kebanyakan dari golongan muda IM sememangnya meminati dan juga mengkagumi Abul Futouh berdasarkan kepimpinannya yang karismatik serta pengalaman beliau yang lama di dalam bidang politik semenjak zaman pelajar di tahun 70’an lagi sehinggalah hari ini samada di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.

Agak ramai dari kalangan IM dan juga Islamis yang bukan IM (samada dari parti Wast ataupun mereka yang tidak berparti) agak tidak berpuas hati dengan tindakan IM melanggar janji mereka. Jikalaulah Abul Futouh telah dipecat dari IM kerana pendirian mereka sendiri pada mulanya tidak mahu meletakkan calon dari kalangan ahlinya, mengapakah kini mereka melakukan u-turn? Bukankah cukup untuk mereka sekadar menyatakan sokongan kepada Abul Futouh? Hal ini telah disinggung oleh ahli veteran IM dan juga mantan jurucakap Ikhwan di UK, Dr Kamal Helbawy. Malah beliau mengambil langkah drastik dengan melucutkan keahlian Ikhwannya sebagai tanda protes. Di dalam nada yang sama, Dr Yusuf al-Qaradawi, yang dilihat sebagai lambang keilmuan Islam dan juga rujukan agama bagi pertubuhan IM juga telah menyatakan perkara yang serupa. Beliau lebih selesa jika IM tidak meletakkan calon mereka dan memberikan pilihan kepada anggotanya untuk membuat pilihan, di mana pastinya mereka akan menyokong Abul futouh. Al-Qaradawi juga mencadangkan agar kesemua calon-calon dari pihak Islamis untuk duduk semeja, berunding untuk mencapai kata sepakat dan mewujudkan jawatan timbalan presiden dengan lebih banyak sepertimana halnya IM yang mempunyai tiga orang naib murshidul ‘Am.

Persoalannya, selepas IM membuat keputusan yang drastik ini, wajah pertandingan pilihanraya presiden sudah berubah berbanding minggu-minggu dan yang lalu. Itulah dinamiknya politik di Mesir yang agak sukar dijangka. Apakah perjalanan seterusnya pilihanraya presiden Mesir yang pertama pasca revolusi 25 Januari ini nanti? Apakah pihak tentera akan masuk campur, atau sekadar membiarkan golongan Islamis mengambil alih tampuk pemerintahan negara Mesir dengan mudah? Apakah ada kuasa luar, terutamanya AS yang akan mencorakkan perjalanan pilihanraya tersebut nanti? Atau apakah calon-calon Islamis akan berupaya untuk duduk semeja membuat pakatan agar undi golongan Islamis tidak terpecah dan akhirnya akan menguntungkan pihak liberal dan sekular?

Agak sukar untuk meramalkannya kerana segalanya mungkin berlaku, dan ibarat kata kebanyakan rakyat Mesir yang saya temui: “Inilah kali pertama kami tidak tahu siapakah yang paling layak untuk menjadi presiden Mesir, tetapi yang menariknya, kamilah yang akan membuat pilihan tersebut!”

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.