Side Views

PM bukan Melayu — Awang Selamat

27 MEI — Insiden kononnya Pengerusi DAP, Karpal Singh tersasul menamakan Lim Guan Eng sebagai Perdana Menteri pada satu majlis baru-baru ini, menarik perhatian. 

Karpal kemudian bertindak cepat mengakui bahawa beliau tersilap. Katanya, buat masa ini, pakatan sepakat untuk memilih Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. 

Awang hanya senyum sambil menyimpan keraguan. Soal tersasul menyebut nama Guan Eng sebagai bakal Perdana Menteri itu adalah cerminan keghairahan beliau untuk melihat Guan Eng menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti. 

Keinginan itu membuak-buak dan tidak terbendung. Atau ia sengaja tersasul bagi memberi mesej tertentu. Awang tidak fikir, orang bijaksana dan peguam terkenal seperti Karpal boleh tersasul seperti itu melainkan itu tanda-tanda pemikirannya mulai uzur. 

Jika diberi pilihan, Karpal sememangnya mahukan Guan Eng dan bukannya Anwar. Pertama, ia memang agenda DAP untuk berkuasa menerusi gagasan Malaysian Malaysia. Kedua, Anwar adalah liabiliti kepada pakatan pembangkang. Isu moral dan biseksual menyebabkan antara lain rakyat melihat pakatan bukan alternatif terbaik kepada Barisan Nasional (BN). Karpal juga pernah mendakwa Anwar terlibat dalam perbuatan meliwat tidak lama dulu. Seingat Awang, beliau tidak pernah secara terbuka menarik balik dan memohon maaf kepada Anwar. 

Insiden tersasul itu diperkukuhkan menerusi satu lagi kenyataannya ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia, Kashturi Jeevandran. Beliau mendakwa akan terus berjuang ke akhir hayat untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri. Katanya, tidak ada undang-undang yang boleh menghalang jawatan itu disandang oleh calon bukan Melayu. Pelbagai pihak terutama badan-badan bukan kerajaan dan ahli-ahli akademik membantah Karpal. Sekutu DAP, iaitu Pas seperti biasa mengambil reaksi yang bercelaru. Dewan Ulama dan Pemuda Pas menentang bukan Melayu dilonjakkan sebagai peneraju negara. Bagaimanapun para pemimpin lebih kanan parti itu membisu kerana takut menyinggung DAP. Lim Kit Siang kemudiannya menafikan kenyataan Karpal. Sudah lumrah, apabila sesuatu kenyataan mencetuskan kontroversi maka media dipersalahkan. Mengapa Kit Siang melatah, apakah beliau bimbang kesannya pada pilihan raya umum nanti? 

Walau apa pun muslihat Kit Siang dan Karpal, mereka harus realistik dengan mengambil kira realiti meliputi sejarah, perlembagaan dan komposisi kaum. 

Lalu ingatan Awang terlintas kepada satu kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew tidak lama dulu bahawa tidak mungkin bukan Cina akan menjadi Perdana Menteri republik itu. Kaum Cina adalah penduduk majoriti di Singapura. Menurut beliau, rakyat Singapura belum bersedia untuk menerima bukan Cina mengetuai pentadbiran negara. Kuan Yew adalah pengasas PAP, yang pernah berkongsi sejarah dengan DAP suatu masa dahulu sebelum Singapura keluar daripada Malaysia. Apa maknanya pendirian Kuan Yew itu kepada rakyat Malaysia? Renungkan — utusan online

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

Comments