Side Views

Politik dinasti semakin ketara — A. Kadir Jasin

April 11, 2012

11 APRIL — Pada 1980-an, saya mengunjungi ibu pejabat Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun di Tokyo yang ketika itu memerintah Jepun. Dalam kunjungan itu, saya menemui Tsutomu Hata yang ditugaskan mereformasi LDP atau Jiminto dalam bahasa Jepun.

Hata memberitahu saya yang LDP semakin feudalistik, mata duitan dan dalam genggaman kalangan perniagaan. Beliau ditugaskan mereformasi LPD supaya lebih serasi dengan perubahan yang sedang berlaku di Jepun.

Usaha Hata itu digagalkan oleh “warlords” LPD dan apabila beliau dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau mampu bertahan selama sembilan minggu sahaja. Pada 2009, LDP kalah pilihan raya umum selepas memerintah selama 54 tahun.

Di negara kita pun ciri-ciri yang sama semakin ketara. Parti-parti politik menjadi semakin feudalistik, amalan nepostisme berleluasa dan dinasti politik semakin mencengkam.

Saya tidak mahu mengatakan sama ada aliran ini baik atau buruk. Saya serahkan kepada pembaca dan pembahas menentukannya.

Maka atas dasar itulah, pada 16 Januari 2011 saya menyiarkan rencana bertajuk “Perdana Menteri Wanita: Kenapa Isteri PM Tak Boleh?” dalam blog ini yang antara lain merujuk kepada kemungkinan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor bertanding pilihan raya dan menjadi Perdana Menteri.

Saya berkata: “Kenapa tidak? Bukankah sudah wujud gandingan suami-isteri dalam landskap politik Malaysia, iaitu Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail? Malahan, gandingan bapa-emak dan anak pun sudah ada — Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah.

“Selain itu, wujud dinasti politik lain seperti gandingan Lim Kit Siang dengan Lim Guan Eng, Karpal Singh dengan Gobind Singh Deo dan Jagdeep Singh Deo. Malah Mohd Najib, Anwar, Hishammuddin Hussein, Mukhriz Mahathir dan ramai lagi adalah pewaris dinasti politik.”

Saya juga menyebut banyak contoh lain di mana isteri atau anak pemimpin negara seperti Evita Peron, Khalida Zia, Benazir Bhutto, Corazon Aquino, Megawati Sukarno Putri dan ramai lagi berganding bahu atau mengambil alih panji-panji suami atau bapa mereka sebagai pemimpin negara.

Rosmah calon “winnable”

Memandangkan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi, mungkin baik kalau kita timbangkan semula kemungkinan Rosmah “memformalisekan” kedudukannya sebagai seorang yang berpengaruh dalam pentadbiran negara dengan bertanding pilihan raya.

Apa salahnya beliau bertanding sebagai salah seorang calon “winnable” Barisan Nasional dalam PRU nanti kerana politik dinasti dan keluarga bukan asing bagi Malaysia. Wan Azizah bertukar kerusi dengan Anwar dan anak mereka, Nurul Izzah, juga Ahli Parlimen. Betty Chew, isteri Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, adalah Adun DAP bagi kerusi Kota Laksamana, Melaka.

Jadi apa salahnya pasangan wakil rakyat Mohd Najib-Rosmah?

Lagipun, cakap-cakap rasmi, separuh rasmi dan kedai kopi memberikan kredit yang tinggi kepada Rosmah bukan sahaja kerana kepintaran dan pendidikan beliau yang tinggi, tetapi juga kerana kreativiti, ketegasan dan keberanian.

Kalau tidak pintar masakan beliau diterima masuk ke sekolah elit Tunku Kursiah, mendapat ijazah sarjana muda Sosiologi dan Antropologi dari Universiti Malaya dan sarjana Sosiologi dan Pertanian dari Louisiana State University, Amerika Syarikat.

Pengalaman kerja beliau juga luas — pernah menjadi eksekutif di Bank Pertanian (sekarang Bank Agro) dan sebagai pengurus pembangunan perniagaan syarikat hartanah Island and Peninsular Bhd.

Mungkin beliau boleh mengepalai senarai calon “winnable” Barisan Nasional yang Mohd Najib uar-uarkan itu. Kalau tidak di Negeri Sembilan, negeri kelahirannya, Rosmah boleh bertanding di kerusi selamat Putrajaya bagi menggantikan Teuku (Tengku Aceh) Adnan Mansor.

Apabila beliau dipilih sebagai wakil rakyat, maka adillah dan patutlah bagi sesiapa pun untuk memuji dan menyanjung atau mengkritik dan mengutuk beliau. Dan layaklah beliau menerima peruntukan rasmi untuk projek-projek beliau. Wallahualam. — kadirjasin.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.