5 JAN — Debat adalah kaedah rasmi berinteraksi mewakili perbincangan. Ia juga satu bentuk perbincangan dalam perspektif lebih luas berbanding perbincangan secara logik kerana ia merangkumi pujukan yang memberi penekanan kepada tindak balas emosi daripada pendengar dan peraturan, yang membolehkan mereka berbincang dan memutuskan mengenai perbezaan, dalam rangka kerja yang menentukan bagaimana mereka berinteraksi.
Debat tidak rasmi pula adalah kejadian normal, tetapi kualiti dan kedalaman debat meningkat dengan pengetahuan dan kemahiran pesertanya sebagai pendebat. Badan perwakilan seperti Parlimen, badan perundangan dan pelbagai jenis mesyuarat, terbabit dalam perdebatan. Keputusan debat mungkin ditentukan undi pendengar, juri, hakim atau gabungan antaranya. Perdebatan rasmi antara calon bagi jawatan dilantik, seperti wakil rakyat dan senator, adalah biasa dalam sistem demokrasi Malaysia.
Berkait dengan senario semasa di tanah air, ada pihak mencadangkan perdebatan diadakan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara.
Pengarah Eksekutif Merdeka Centre, Ibrahim Suffian dilaporkan berkata cadangan itu adalah pendekatan baru yang mampu menjadi transformasi politik baru dalam negara.
Benarkah debat berkenaan boleh membawa transformasi kepada politik tanah air? Menurut penganalisis politik, debat adalah satu pendekatan untuk membolehkan pemimpin kedua-dua gabungan besar Barisan Nasional (BN) dan pembangkang menampilkan kaedah kepemimpinan dan dasar yang akan diguna pakai, sudah dilaksana dan bakal dilaksanakan. Perdebatan antara dua pemimpin politik sudah jaya dilaksanakan di Amerika Syarikat dan United Kingdom serta negara maju namun ia berpaksikan kepada konsep sistem dua parti.
Dalam konteks Malaysia, bagi Penganalisis Politik, Prof Madya Sivamurugan Pandian, ia boleh diadakan jika mahu mempamerkan fasa baru dalam politik arus perdana.
Namun, beliau mempersoalkan sejauh manakah pemimpin politik Malaysia sudah memiliki kematangan dalam berhadapan dengan perdebatan berkenaan.
“Ia masih satu dilema, seperti yang pernah dilihat debat antara Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Anwar; Tan Sri Koh Tsu Koon dan Lim Guan Eng. Walaupun pemimpin atasan sudah bersedia serta segelintir pengikut yang mempunyai literatur politik yang tinggi, persoalannya apakah rakyat sudah bersedia untuk melihat perubahan seperti ini, atau ia harus dilakukan secara berperingkat untuk menguji tahap rasional, emosi dan praktikal dalam konteks persekitaran politik tanah air,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan turut menyatakan debat tidak sesuai kerana budaya debat adalah budaya Barat yang masih belum boleh diterima di negara ini.
Malaysia, katanya mempunyai masyarakat berbilang agama dan bangsa, tidak seperti di Barat, yang mana politik mereka lebih bersifat terbuka serta tidak membabitkan pelbagai kaum.
Jika mengambil kira pendapat Ahmad Maslan, maka persoalan yang dikemukakan Sivamurugan boleh diakui dan rakyat sebenarnya masih belum bersedia menerima pendekatan debat ini.
Berdasarkan siri debat yang lalu antara Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Anwar; Tan Sri Koh Tsu Koon dan Lim Guan Eng pula dilihat masih ada hujah yang dikemukakan membabitkan peribadi kepemimpinan bukannya pada persoalan mengenai isu yang didebatkan.
Jadi wujud ketidakmatangan kepemimpinan kedua-dua parti dalam mengemukakan hujah masing-masing sedangkan persoalan debat diadakan adalah bagi memberi kefahaman kepada rakyat isu yang diperdebatkan bukannya berdebat untuk memujuk orang menyokong membuta tuli.
Berdasarkan kepada penerimaan umum terhadap debat lalu, dilihat penyokong kedua-dua pihak menerima maklumat yang didebatkan bukan atas pertimbangan rasional atau persoalan relevan tetapi berdasarkan kelompok yang mereka sokong. Apa saja hujah yang dikemukakan pihak berlawan, bagi penyokong adalah tidak relevan sebaliknya mereka tetapi dengan pendirian masing-masing.
Di satu pihak lain, mereka melihat debat antara kedua-dua pemimpin parti itu hanya bertujuan menghina dan memperlekehkan pihak kerajaan dalam menjalankan tugas mereka.
Senator Ezam Mohd Nor Ezam berpendapat debat Anwar dan Najib bertujuan menghina institusi Perdana Menteri di negara ini. Tidak wajar sama sekali seorang seperti Anwar disaran berdebat dengan seorang Perdana Menteri.
Menurut Ezam lagi, Anwar wajib jawab atau saman dakwaan serius tiga individu tentang aktiviti liwat, pelacuran dan skandal isteri orang sebelum layak berdebat dengan Perdana Menteri.
Pandangan Ezam itu juga boleh dilihat rasionalnya kerana debat yang dicadangkan seakan mahu menyerang Perdana Menteri atau dengan kata lain mempertikaikan apa yang sedang, sudah dan bakal dilaksanakan kerajaan.
Hakikatnya, pelaksanaan yang dilakukan kerajaan dalam kebanyakan isu diterima baik rakyat dan berdasarkan kehendak rakyat, termasuk persoalan yang dibangkitkan pembangkang sama ada di Dewan Rakyat mahupun di luar serta cadangan melalui jawatan kuasa dan majlis yang ditubuhkan termasuk suruhanjaya bebas. Jadi mengapa perlu lagi perdebatan?
Cadangan kepada perdebatan mungkin kerana pembangkang nampak wujud kelemahan di pihak kerajaan, yang dilihat terlalu mengikut atau menjawab serta responsif terhadap apa juga yang mereka kehendaki selama ini.
Apa yang telah dilakukan adalah lebih daripada memadai walaupun setiap kali juga, kerajaan sebenarnya tentu sedar tentang taktik licik pembangkang yang sering ‘mengubah tiang gol’ untuk mencapai hasrat mereka.
Benar juga seperti dikatakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri tidak perlu melayan cadangan untuk mengadakan debat dengan Anwar bagi membincangkan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara kerana ia tidak memberi kesan untuk merubah pendirian pembangkang. — berita harian online
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.






