Ramadan politik dan Khomeini — Mohd Faizal Musa
8 OGOS — Sangat sukar untuk membayangkan, rantau Asia Tenggara yang begitu kuat tradisi Ahlus Sunnah wal Jamaah mengabaikan karisma besar yang dimiliki oleh al Marhum Ayatullah al Uzma Ruhullah Musawi Khomeini lebih tiga puluh tahun lampau. Meskipun kumpulan esei: Expectation of the Millennium: Shiism in History (1989, susunan Syed Hossein Nasr, Hamid Dabashi dan Sayyid Vali Rez Nasr) mengabaikan sama sekali impak Imam Khomeini di rantau ini tetapi sesungguhnya kedudukan istimewa al-Marhum tidak dapat lagi dipertikaikan.
Oleh kerana itu jika kita merenung sumbangan besar al-Marhum kepada pendokong Islam di sebelah sini dunia, kita akan menemui paling tidak tiga kesedaran yang bersumberkan Revolusi Islam Iran. Ia sekaligus merupakan jasa luar biasa Imam Khomeini. Tiga kesedaran yang dimaksudkan ialah:
a. Kesedaran Politik. Kebangkitan golongan ulama di Iran menjatuhkan penguasa zalim yang sekular telah memberikan ledakan menakjubkan untuk gerakan Islam di Malaysia. Hal ini bukanlah main-main kerana Haji Abdul Hadi Awang seorang ulama berpengaruh di Malaysia dalam satu wawancara khas dengan majalah al-Ummah edisi Julai 1989 (sempena kewafatan Imam Khomeini) menegaskan yang:
Sumbangan besar beliau ialah memulihkan semangat umat Islam supaya bangkit dan berjuang serta membuktikan bahawa tiada kezaliman yang kekal di bumi menggulingkan kerajaan Shah dan seterusnya menegakkan Negara Islam yang dihormati oleh orang-orang Islam dan oleh orang-orang bukan Islam. Imam Khomeini telah memberikan semangat kepada dunia Islam dengan tidak menonjolkan diri sebagai pemimpin. Beliau menyeru umat Islam supaya bangkit di mana-mana sahaja. Oleh kerana gerakan yang dibawa oleh beliau ialah gerakan Islam dan beliau tidak menonjolkan soal-soal mazhab seperti yang sering digembar-gemburkan serta beliau bukan menjadi pemimpin politik semata-mata kerana dalam Islam, politik hanyalah sebahagian daripada Islam; maka kita namakan beliau sebagai seorang Pemimpin Islam Gerakan Tajdid di awal abad hijrah ke 15 ini.
Di Indonesia juga impak yang sama telah berlaku. Saya ingin memetik beberapa perenggan yang ditulis oleh beberapa kumpulan pengarang Indonesia yang termuat dalam buku Syiah dan Politik di Indonesia: Sebuah Penelitian (2000, suntingan A Rahman Zainuddin dan M. Hamdan Basyar). Pada bab ‘Implikasi Perkembangan Syiah di Indonesia’ kumpulan pengkaji menyatakan begini:
Beberapa kalangan Sunni moderat mengakui ada sisi-sisi ajaran Syiah khususnya yang menyangkut figur dan peranan kepemimpinan ulama yang patut untuk diteladani. Mereka mengakui bahwa Iran sangat beruntung memiliki figur kepemimpinan semacam Ayatullah Khomeini, yang mewarisi nilai spiritualitas tinggi utamanya dalam menentang kezaliman, tirani, dan ketidakadilan. Tipe kepimpinan ulama yang sangat militan yang berhasil memelopori revolusi untuk menggulingkan tirani dan hegemoni Syah Iran tidak dimiliki oleh mayoritas Sunni di Arab Saudi maupun Indonesia. Di Indonesia rezim Soeharto berhasil mempertahankan kekuasaan absolut selama puluhan tahun tanpa ada seorang pun ulama yang mampu menentangnya secara terbuka.
b. Kesedaran Berdepan dengan Super Power: Subky Latif seorang aktivis gerakan Islam di Malaysia pernah memuji Imam Khomeini dalam tulisannya ‘Walaupun Tubuhnya Lumpuh, Perjuangannya Tidak Lumpuh: Khomeini dalam Kenangan’ (lihat majalah al Ummah edisi Julai 1989). Menurut Subky Latif, sejak Revolusi Islam Iran menjelma, kuasa-kuasa besar dunia digegarkan secara politiknya:
Apabila ia sanggup mencabar Amerika dalam bentuk yang begitu berani, maka dengan sendirinya menyebabkan lain-lain negara tidak berani dengannya. Cuma Iraq yang membodohkan diri untuk menjadi orang suruhan kepada Amerika, tetapi risiko yang diterima oleh Iraq ialah dari sebuah negara yang berhajat untuk menggantikan Mesir sebagai pemimpin Arab, ia menjadi sebuah negara yang hidup atas ehsan dunia Arab termasuk negara-negara Arab yang kecil yang diperlecehnya dahulu. Kejayaan besar yang mengejutkan dunia bila Khomeini mengutus surat dakwah kepada pemimpin Soviet, Gorbachev memintanya untuk meletakkan komunisma dalam muzium sejarah tetapi cubalah mempelajari Islam supaya nantinya Soviet Union boleh terus berdaulat. Dakwahnya itu menggegarkan tembok besi Rusia.
Hari ini kesan dari pemikiran mencabar kuasa mustakbirin Amerika dan Soviet Union tersebut, Republik Islam Iran menjadi jaguh memperjuangkan kemaslahatan negara-negara dunia ketiga yang tertindas. Dengan isu nuklear, Iran sekali lagi tampil ke hadapan memperjuangkan hak negara yang dikategorikan oleh Barat sebagai dunia ketiga dalam mendapatkan hak kemajuan teknologi yang dinafikan oleh kuasa besar. Hal ini turut diakui di Indonesia, izinkan saya memetik dari esei yang sama dari buku Syiah dan Politik di Indonesia: Sebuah Penelitian, saya sebutkan perenggan yang dapat menjadi bukti impak revolusi yang dipimpin oleh Imam Khomeini:
Secara global keberhasilan revolusi Iran juga berpengaruh pada Dunia Islam, khususnya dalam membangitkan semangat Pan-Islamisme. Dunia Islam selama ini tidak pernah berada di posisi puncak. Seperti Arab Saudi yang menjadi ideological core dan mainstream dari penyebaran Islam karena senantiasa mempertahankan sistem monarki yang tidak demokratis tidak pernah berada di pososi puncak. Para aktivis Islam di Indonesia pada akhirnya juga termotivasi untuk membaca buku-buku tentang keberhasilan Revolusi Iran dan perjalanan hidup Khomeini. Khomeini menjadi sosok ideal yang begitu dikagumi.
c. Kesedaran Perjuangan Palestina: Tidak diragukan lagi kebijaksanaan Imam Khomeini dalam isu Palestina telah menjadikan umat Islam, apa jua mazhabnya menjadi kabur dalam soal perbezaan kecil demi untuk menumpukan perhatian kepada isu sebenar iaitu Palestina dan kekejaman Zionis di tanah al Quds. Gerakan kesatuan umat Islam telah disegarkan dan digerakkan semula oleh Imam Khomeini di sebalik seruan untuk membebaskan Palestina. Imam Khomeini telah mengisytiharkan Hari al Quds dalam ucapannya yang berbunyi begini:
Saya menyeru seluruh kaum muslimin di dunia untuk menjadikan Jum’at terakhir di bulan suci Ramadhan sebagai Hari al-Quds; dan melalui demonstrasi solidaritas kaum muslimin sedunia, mengumandangkan dukungan mereka atas hak-hak rakyat muslim. (Rujuk Imam Khomeini ketika mengumumkan Hari Al-Quds, 7 Ogos 1979, Sahifa-yi Nur, vol. 8, halaman: 229.)
Dan perjuangan Imam Khomeini ini tidak pernah terpesong malah terpancar menerusi puterinya Zahra. Sebagai pemimpin NGO Union Supporting Palestinians Right, Dr. Zahra Mustafawi dalam satu konferens bertaraf internasional sempena Nakba (14 Mei 2008) di Wisma Makara, Universitas Indonesia, Depok telah mengatakan ‘kalau umat Islam semua bersatu akan menjadi kekuatan yang sulit dipecah-belahkan’. Dengan penuh semangat juga Dr Zahra mengatakan (diterjemahkan):
Perlawanan 33 hari Hizbullah terhadap Israel menunjukkan bahwa musuh bukanlah kuasa yang tak terkalahkan, malah sesungguhnya mereka amat lemah. Selayaknya kita mengetahui kelemahan mereka dan menyusun mekanisme yang dapat digunakan untuk mengalahkan ketidakadilan itu (lihat “Freedom and Right of Return: Palestine and 60 Years of Ethnic Cleansing”, Voice of Palestine.net, 15 Mei 2008).
Hari ini isu-isu sektarian telah mengaburi kebersamaan umat Islam dalam mendepani perjuangan rakyat Palestina. Sebagai contohnya ilmuan terkenal dari Barat, Profesor Tariq Ramadan ketika mengunjungi Malaysia atas undangan Islamic Renaissance Front baru-baru ini ada menegur perselisihan sekte yang semakin memburuk. Sebagai contoh, Tariq Ramadan menyentuh perihal dokongan masyarakat Sunni terhadap pemberontak Syria, dengan alasan Bashar al-Assad adalah seorang Syiah (Alawi); atau sikap acuh tidak acuh masyarakat Sunni terhadap apa yang menimpa rakyat Bahrain semata-mata kerana rakyatnya yang bangkit itu bermazhab Syiah haruslah dibetulkan kembali. Tariq menyatakan perpecahan mazhab ini adalah satu ‘permainan yang berbahaya’:
This is not acceptable. There are differences and disagreements on some issues but we are both Muslims. We should not use this division to colonise our way of dealing with Muslims because that would be creating division and by creating divisions we are promoting discrimination and nurturing trouble. (lihat “Wising Up To Fragile Situation”, The Star Online, 5 Ogos 2012).
Kembali kepada sumbangan Imam Khomeini, Terlalu banyak aspek perjuangan al Marhum Imam Khomeini yang tidak terungkapkan dan mustahil dibicarakan dalam ruang yang sempit. Tiga kesedaran yang dinyatakan di atas amat membekas dan menjadi sumbu kekuatan umat Islam di Asia Tenggara.
Dalam menghidupkan pemikirannya demi kepentingan umat Islam tanpa mengira mazhab, ideologi politik mahupun warna kulit. Satu masa dahulu Sayyid Jamaluddin el Afghani (di Iran dikenal sebagai al-Asabadi), seorang pemikir syiah yang hebat telah menyeru kepada perpaduan umat Islam untuk mendepani kuasa penjajahan Barat. Seruan beliau tersebut disambut oleh muridnya, Sheikh Muhamad Abduh seorang sunni. Kekuatan yang sama pada el Afghani terlihat pula pada sosok Imam Khomeini. Kerana bukan hanya seorang ulama dan aktivis gerakan Islam sunni menjadi murid tidak rasminya, lantas mengambil idea pemikirannya; tetapi sebetulnya jutaan ulama dan aktivis sunni telah berhasil merubah kekuatan wacana al-Marhum Imam; dalam menobatkan Islam untuk kembali ke tempatnya. Kewibawaan Imam Khomeini ini dinamakan oleh Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang sebagai ‘Khomeini Pemimpin Islam Gerakan Tajdid di awal abad hijrah ke 15 ini’.
Jumaat terakhir Ramadan yang jatuh pada 17 Ogos 2012 ini adalah saat yang paling baik untuk mengenang sumbangan spektakular Imam Khomeini khususnya usaha al-Marhum untuk mendekatkan kemajmukan mazhab demi membantu krisis di Palestina.
* Dr Mohd Faizal Musa ialah Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.




