Side Views

Rasionalkah gaji pengendali Facebook Page sebanyak RM5,000 — Amanz

December 01, 2011

1 DIS — Sekiranya para pembaca mengikuti arena politik, ramai tahu Kementerian Pelancongan membelanjakan sejumlah wang yang agak besar dalam mengendalikan media sosial mereka. Melalui berita The Malaysian Insider, Pemuda DAP, Anthony Loke, RM30,000 dibelanjakan setiap bulan untuk mengendalikan 6 Facebook Page, dan RM240,000 untuk 8 bulan. Fakta lain adalah seperti berikut:

  • Memberikan maklumbalas terhadap soalan dari peminat (fans) dan mengemaskini pangkalan data dengan maklumat dari pengguna. RM10,000 setiap bulan
  • Mengendalikan ‘wall post’, maklumbalas positif & negatif, membangunkan dan memantau info berkaitan pelancongan. RM160,000
  • 6 peraduan yang telah dijalankan. RM558,432
  • Mengendalikan Facebook Page. RM 5,000 untuk setiap page. RM30,000 setiap bulan ( 6 page)

Kal Joffres, pengarah kepada Tandemic yang menawarkan servis konsultasi media sosial dipetik sebagai berkata “RM 5,000 untuk mengendalikan Facebook Page adalah nilai yang standard untuk mengendalikan Facebook Page yang popular. Untuk syarikat yang mempunyai portfolio lebih tinggi, nilainya boleh mencecah RM10,000-RM12,000 manakala sekiranya menggunakan khidmat ‘freelancer’, nilainya adalah RM 2,000-RM3,000.”

Loh Chi Ming, juga merupakan seorang konsultant pemasaran digital berkata = RM 5,000 untuk mengendalikan Facebook Page bukanlah sesuatu yang tidak munasabah. Beliau juga berkata nilai upah pengendali Facebook Page bergantung kepada pengalaman dan masa yang digunakan untuk mengendalikan. Melalui nilai tersebut kita juga boleh memerhati nilai-nilai ‘post’ yang telah dibuat di Facebook Page tersebut.

Sebelum kita mempersoal nilai RM5,000 tersebut, mari kita ketahui apa itu Facebook Page, dan kepentingan untuk setiap jenama atau syarikat. Dengan pengetahuan sebegini, ianya sedikit sebanyak membantu kita memahami apa sebenarnya tugas pengendali Facebook Page.

Apa itu Facebook Page?

Facebook Page merupakan salah satu keperluan pada masa kini. Ia boleh dijadikan salah satu tempat untuk berkomunikasi antara pelanggan dan juga syarikat. Tidak dapat dinafikan media tradisional juga diperlukan untuk tujuan pengiklanan. Dan sekiranya kita lihat, dimana sahaja iklan, 10 tahun lepas mungkin apa yang tertera hanyalah no telefon hotline. Tetapi pada masa kini, kesemua jenama tidak kira besar atau kecil mempunyai Website/email,Nombor telefon,  link Facebook & juga Twitter. Facebook Page telah menjadi satu cabang dan alat komunikasi dimana pelanggan boleh bertanyakan soalan dan mendapatkan maklumat di Facebook Page tersebut.

Dan lebih dari itu, setiap kemaskini di Facebook Page akan muncul di ‘News Feed’ para peminat yang menambahkan nilai untuk syarikat. Bayangkan sekiranya kita mempunyai 100,000 Facebook Fan dan promosi/ berita di News Feed Facebook kita didengari oleh 1% daripada jumlah tersebut, dah dapat 1,000 pelanggan.

Kewujuduan Facebook Page adalah penting untuk setiap jenama masakini.

Susahkah untuk mengendalikan Facebook Page?

Berbanding dengan hujah popular ‘eleh anak aku pun boleh kendalikanlah Facebook Page’, untuk mengendalikan Facebook Page tidak semudah yang disangka. Ini kerana pengendali tersebut akan mewakili jenama tersebut. Sedikit kesilapan boleh menggugat kredibiliti dan imej jenama tersebut. Pengendali Facebook Page tersebut boleh diumpamakan seperti Kerani Kaunter Pertanyaan. Setiap soalan perlu dijawab dengan tepat dan dengan kepentingan untuk memuaskan hati pelanggan. Hatta soalan yang tidak boleh dijawab oleh pengendali Facebook Page tersebut, mereka tidak boleh senang lenang mengatakan “sila google”. Maklumbalas sebegitu sememangnya menjejaskan imej kita dilabel sebagai tidak membantu. 

Apa yang dapat diperhatikan dalam gambar diatas adalah wakil dari MyDeal mengatakan ‘Hi Shameful’ (bermaksud ‘Hi orang yang sangat memalukan’) terhadap komen pelanggan sebelumnya. Ini sekaligus menjejaskan reputasi syarikat tersebut.

Dan dengan kata lain, anda sebagai pemilik jenama ataupun syarikat, tidak mahu mengupah pengendali Facebook yang tidak fasih didalam bahasa yang digunakan dan tidak mempunyai tahap pelajaran atau pengalaman dalam mengendalikan Facebook Page. Anda tidak mahu kes seperti diatas berlaku dan menjadi bahan ketawa. Kecuali sekiranya anak anda mempunyai bakat, minat, dan berkebolehan untuk melakukan tugas seorang pengendali Facebook Page, sememangnya lebih baik upah anak anda kendalikan Facebook Page.

Tugas seorang pengendali Facebook Page

Pengendali Facebook Page perlu mengetahui jenama yang dikendalikan mereka. Adalah tidak munasabah untuk meminta seorang pengendali Facebook Page yang tidak minat/tidak pernah bermain bola sepak untuk mengendalikan Facebook Page Selangor FC (sebagai contoh). Ini kerana pengendali tersebut pastinya kurang mengetahui berita-berita dan informasi yang relevan yang diperlukan oleh peminat bola sepak yang menjadi fan kepada Facebook Page tersebut.

Kecualilah sekiranya terdapat kursus latihan bagi memantapkan pengendali tersebut. Sekiranya pengendali Facebook Page tersebut mempunyai reputasi dan kredibiliti yang tinggi, kemungkinan bayaran lebih dipinta untuk membolehkan pengendali tersebut mendalami informasi yang berkaitan dan juga kursus yang perlu diikuti. Juga, dalam memantapkan komunikasi dari Facebook Page kepada pembaca, pengendali tersebut perlu mengikuti aktiviti harian syarikat, mungkin menjelajah kesana-sini baik di realiti mahupun web bagi menaikkan tahap aktiviti (engagement) dengan pelanggan.

Misi utama pengendali Facebook Page adalah untuk menaikkan tahap aktiviti bersama pelanggan. Oleh sebab itu anda biasa lihat pertandingan-pertandingan di Facebook Page seperti

    * Cabutan Bertuah

    * Like Gambar

    * Undian / FB Questions

    * Peraduan berasaskan Cadangan (cadangkan satu restoran dan dapatkan tiket wayang contohnya)

    * dan bermacam lagi

Tugas mereka adalah seperti pegawai pemasaran. Sewaktu musim perayaan, pengendali masih perlu memerhati dan mengendalikan page mereka. Maklumbalas perlu diberikan secepat mungkin. Bayangkan sekiranya ada komen negatif dihantar pada waktu malam yang biasanya semua orang sedang nyenyak tidur, tetapi komen negatif tersebut menerima banyak ‘Likes’, ianya akan menjadi mimpi buruk pengendali tersebut. Oleh sebab itu, kebanyakan syarikat mempunyai dua orang yang bertugas secara syif bagi memastikan tiada komen yang terlalu negatif, berunsur menghina, menyelinap masuk didalam Facebook Page mereka.

Akhirnya apa yang akan dinilai oleh syarikat terhadap pengendali Facebook Page tersebut adalah bagaimana pengendali tersebut mengendalikan Page tersebut. Berapa banyak ‘Shares’, ‘Likes’, ‘Comments’ yang diperoleh? Nilai tersebut yang akan menjadi ukuran dari syarikat terhadap pengendali Facebook Page tersebut.

Rasionalkah RM5,000 tersebut?

Untuk menjawab soalan tersebut, mari kita keluar dari kepompong kes hangat ini iaitu Kementerian Pelancongan membelanjakan RM5,000 setiap page. Persoalan mengenai RM5,000 untuk mengendalikan Facebook Page Kementerian Pelancongan kita boleh ketepikan dahulu.

Sepertimana yang dinyatakan diatas, pengendali Facebook Page boleh diumpamakan seperti pegawai pemasaran, kerani kaunter pertanyaan dan mungkin bekerja secara syif. Dan jika kita lihat, andaikata RM 5,000 untuk mengendalikan Facebook Page Jabatan/Kementerian/ Jenama /Pasukan/ Syarikat  yang mempunyai lebih dari 50,ooo pengguna/Likes, sudah pasti RM5,000 itu adalah rasional. Gaji 1-2 orang berharga RM5,000 adalah rasional dengan kuantiti ‘Shares’, ‘Likes’, ‘Comments’ yang mungkin diperoleh berdasarkan 50,000 pengguna.

Dan adalah tidak munasabah untuk mengendalikan 100,000 pengguna Facebook Page dengan upah RM2,000, melainkan ada 3-4 pengendali yang lain dan bayaran tersebut hanya untuk seorang pengendali muda (junior)

Facebook Page itu free, kenapa perlu diupah untuk mengendalikannya?

Ini adalah hujah yang lemah. Anda boleh mengupah pada harga lebih murah ataupun meminta orang lain melakukan kerja tersebut secara percuma akan tetapi bagaimana dengan hidup mereka? Saya tiada masalah dengan kerja yang dilakukan atas dasar sukarela akan tetapi anda tidak boleh menyangka dan meminta kerja sukarela untuk jenama perniagaan anda. Ini kerana kos buat setiap pengendali Facebook Page adalah KOS MASA. Kan Masa itu emas? Kalau bayar ikut nilai emas setiap satu jam kan lagi mahal ?

Hanya semata-mata pengendali Facebook Page bekerja dari rumah mahupun di pejabat, siapa mahu bayar penggunaan elektrik, internet, bayaran ansuran laptop mereka, perisian yang digunakan mahupun secangkir kopi yang menaikkan semangat mereka untuk bekerja, kalau bukan dari upah anda.

Kesimpulan

Meskipun kerja-kerja ini adalah dibalik tabir, anda tidak boleh memandang rendah terhadap tanggungjawab seorang pengendali Facebook Page. Pada dasar harga, berbalik kepada tajuk, saya setuju dengan kenyataan Kal Joffres & Loh Chi Ming berkenaan nilai RM5,000 yang rasional untuk mengendalikan Facebook Page yang perlu berkadaran dengan reputasi dan pengalaman pengendali/syarikat dan juga bilangan Fans. Saya tidak suka kepada mereka yang memandang rendah terhadap nilai servis berkaitan media sosial mahupun ICT.

Sehingga sekarang, graduan baru dalam bidang ICT hanya memperoleh RM 1,800+. Syarikat mungkin tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana mungkin klien mereka yang lebih memandang enteng syarikat-syarikat yang menawarkan servis ICT dan Media sosial dan membayar harga projek yang lebih murah walhal kos hidup semakin meningkat terutamanya di bandar besar. Akan tetapi kita sebagai pembaca atau mereka yang bekerja didalam sektor ini perlu melakukan sesuatu dan perlu mengetahui harga pasaran sekaligus boleh memberikan pendedahan kepada masyarakat.

Akhir kata, sebagai rehat selepas membaca artikel yang panjang, mari kita bandingkan antara Facebook Amanz Network & Kementerian Pelancongan. Perhatikan ‘Talking About This’. Ia adalah ukuran tahap Engagement anda/jenama dengan pembaca. — amanz.com

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.