Side Views

Singapura tak boleh terus berprasangka — Rejal Arbee

July 12, 2012

12 JULAI — Kenyataan Menteri Luar Singapura, K. Shanmugam di Parlimen republik itu tiga hari lalu bahawa kerajaannya akan terus berusaha mewujudkan hubungan terbaik dengan Malaysia seperti sekarang memang dialu-alukan. 

Bagaimanapun, hubungan terbaik berterusan di antara kedua-dua negara itu tidak akan wujud dengan kata-kata saja. Kedua-dua negara harus melakukan yang sepatutnya untuk memupuk suasana terbaik bagi menjamin hubungan itu akan berterusan.

Maknanya, kedua-dua negara lebih-lebih lagi diplomat mereka tidak harus melakukan apa-apa yang boleh menimbulkan tuduhan “cakap tak serupa bikin”. 

Inilah sebenarnya ditimbulkan Malaysia kerana ada syak wasangka mengenai tiga diplomat republik itu menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada April lalu hingga ada yang mendakwa mereka turut memakai baju-T berwarna kuning seperti dipakai peserta himpunan haram itu. 

Mengetahui bagaimana liciknya pegawai republik itu dalam setiap perlakuan, tentunya mereka tidak begitu “bodoh” mengenakan baju kuning apabila berada di tempat kejadian. Perlakuan ketara sedemikian tentunya tidak mereka lakukan. 

Tetapi apakah kehadiran mereka dalam perhimpunan bagi mendapatkan maklumat mengenai keadaan perkembangan politik semasa seperti direstui Konvensyen Geneva mengenai perlakuan seseorang diplomat di negara mereka bertugas. Hanya ketiga-tiga pegawai itu saja yang boleh nyatakan dengan sahih. 

Tak harus pandang serong 

Tidak siapa mengetahui apa niat mereka sebenar. Inilah yang menjadi persoalan kerana republik itu diketahui amat tidak senang dengan beberapa perkembangan yang sedang dihadapi negara ini. Mereka sepatutnya tidak harus berpandangan serong terhadap negara ini atau mengambil sebarang tindakan yang boleh menjadi polemik hingga menjejaskan hubungan baik yang sudah dipupuk melalui perjumpaan kedua-dua Perdana Menteri dua tahun lalu. 

Insiden terakhir ini mengingatkan kita kembali kepada sikap dan pandangan tiga pegawai kanannya yang dengan mudah memperbodoh dan merendahkan kebolehan negara ini dan pemimpinnya. Pandangan tiga orang itu, Duta Besar Tommy Koh, Ketua Perkhidmatan Awamnya, Peter Ho dan Pegawai Kanan Kementerian Luarnya, Bilahari Kausikan sememangnya diberikan secara “sulit” kepada pegawai kanan Amerika Syarikat dalam perjumpaan berasingan seperti disiarkan Wikileaks beberapa tahun lalu. 

Apa yang ketiga-tiga pegawai kanannya menyatakan itu sebagai rahsia adalah sentimen sebenar dan pemikiran ramai pegawai dan rakyatnya terhadap negara ini. 

Sikap memperkecil dan memandang rendah kebolehan kita inilah yang sepatutnya dikikis republik itu sekiranya ia mahu mewujudkan hubungan dua hala terbaik. 

Umum mengetahui bagaimana “kiasunya” mereka dan sering berfikir mereka lebih bijak dan pintar daripada kita dan boleh saja memperkuda dan permainkan kita. 

Yang menjadi persoalan hanyalah sikap mereka yang menyibuk, khususnya terhadap perkembangan politik semasa dalam negara seperti ditunjukkan ketiga-tiga diplomatnya itu. 

Seringnya dalam hubungan dua hala, republik itu sentiasa melihat faedah yang boleh diharapkan daripada hubungan itu. Jadi mereka sering saja mahukan faedah yang lebih berbanding apa yang Malaysia boleh dapatkan daripada mereka. 

Hubungan kedua-dua negara kini dikatakan bertambah baik daripada apa yang wujud ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui negara ini, khususnya ketika Lee Kuan Yew memerintah atau mempengaruhi corak perjalanannya. 

Bahkan hubungan mereka ketika itu sering saja menghadapi tekanan tetapi hubungan itu kini telah bertambah baik berikutan pertemuan mesra antara kedua-dua pimpinan mereka sekarang ini. 

Ia telah menjadi lebih baik berikutan dengan pertemuan yang mesra di antara kedua-dua Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Lee Hsien Loong pada Mei dua tahun lalu. 

Hendaknya apa yang telah diusahakan itu tidak pula disabotaj oleh perlakuan yang boleh menimbulkan syak wasangka dan prasangka. 

Sebelum ini, sudah banyak diutarakan oleh akhbar republik itu bagaimana ketaranya perlakuan jenayah di Johor Baru yang disasarkan ke atas rakyatnya. 

Bagaimanapun, kini semakin ramai rakyatnya membeli rumah dan mendiami kawasan sekitar Johor Baru, khususnya Nusajaya dan sanggup berulang alik ke tempat kerja atau menyekolahkan anak mereka kerana mendapati suasana di Johor lebih selesa dan nyaman ditambah pula dengan harga rumah yang murah kerana kadar pertukaran dolar Singapura yang kukuh. Satu dolar Singapura kini bersamaan RM2.50. — Berita Harian

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

 

Talk of the web