Side Views

SUPP kena atasi segera krisis elak berkubur — Manja Ismail

12 DIS — Persidangan tiga tahun sekali Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang dipenuhi pelbagai kontroversi, berakhir di Kuching semalam dengan menyaksikan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, dipilih sebagai Presiden baru, menggantikan Tan Sri Dr George Chan, yang tidak bertanding ekoran kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu.

Buat kali pertama dalam sejarah SUPP, parti pelbagai kaum tetapi didominasi oleh rakyat berketurunan Cina itu, menyaksikan wakil Bumiputera, Datuk Richard Riot Jaem, yang juga Timbalan Menteri Luar, dipilih sebagai Timbalan Presiden. Seorang lagi muka baru, Prof Dr Sim Kui Hian dipilih sebagai Setiausaha Agung SUPP, manakala sebahagian besar daripada 124 ahli jawatankuasa kerjanya, juga terdiri daripada orang baru.

Perubahan barisan kepemimpinan ini mencerminkan hasrat perwakilan dan ahli untuk melihat SUPP, antara parti politik tertua dan kedua terbesar di Sarawak kembali kepada kedudukan asalnya. Begitupun, persidangan kali ini dilanda kontroversi apabila kumpulan seorang lagi calon Presiden, Datuk Seri Wong Soon Koh, memboikotnya, sekali gus memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Chin.

Yang jelas, barisan kepemimpinan baru SUPP mempunyai tugas berat dengan waktu yang terbatas, untuk memulihkan kedudukannya sebagai komponen Barisan Nasional (BN) kedua terpenting di Sarawak. Tugas pertama Chin pastinya menyatukan semula saf kepemimpinan parti seperti disarankan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan persidangan itu kelmarin.

Keputusan persidangan yang tidak mengisi satu jawatan Naib Presiden dan enam kerusi ahli jawatankuasa kerja pusat boleh dilihat sebagai langkah awal kepemimpinan baru untuk menyatukan kembali ahli parti itu, khususnya penyokong Dr Wong dan enam wakil rakyat parti itu. Chin juga perlu memastikan generasi muda diberi lebih banyak ruang dalam kepemimpinan SUPP, sekali gus melatih mereka sebagai pelapis.

Langkah itu penting kerana kegagalan menyatukan semula dengan segera puak yang bertelagah dan mentransformasikan parti berusia 52 tahun itu supaya serasi dengan cita rasa pengundi muda dan urban, bukan saja boleh menjejaskan prestasi BN di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), malah bakal menyebabkan SUPP menyertai senarai parti politik “yang hidup segan, mati tak mahu” di negeri itu.

Perbalahan yang berlarutan dalam SUPP, terutama antara kumpulan berketurunan Foochow di Sibu dan bukan Foochow di Miri telah memberi padah kepada parti itu apabila hanya memenangi enam daripada 19 kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Sarawak April lalu. Persoalannya kini, mampukah kepemimpinan baru SUPP mempertahankan enam daripada tujuh kerusi Parlimen yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum 2008.

Justeru, seluruh kepemimpinan SUPP — sama ada penyokong Chin atau Wong — tidak mempunyai pilihan lain kecuali segera merapatkan barisan jika mereka tidak mahu parti itu menjadi seperti sebuah lagi parti tertua di negeri itu — Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

SNAP, parti Dayak tertua di Sarawak (1961) yang melahirkan ketua menteri pertama dan pernah menjadi komponen penting BN di negeri itu, kini dianggap parti nyamuk akibat krisis demi krisis yang dihadapi kepemimpinannya. Malah, pada pilihan raya negeri April lalu, SNAP yang menyertai pakatan pembangkang, tewas di semua 26 kerusi ditandinginya.

Sejarah krisis kepemimpinan dalam SNAP turut menyaksikan kemunculan beberapa parti baru mewakili kaum Dayak seperti Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka, 1962), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS, 1981), Parti Reformasi Negeri (STAR, 1996) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP, 2002). Kecuali SPDP yang menjadi komponen BN sekarang, yang lain sama ada menjadi parti serpihan atau hanya tinggal nama kerana ahli atau pemimpinnya menyertai parti lain.

SUPP, yang ditubuhkan pada 1959 dengan majoriti keahliannya rakyat berketurunan Cina, mungkin menerima nasib serupa dengan SNAP jika krisis dalaman dan sikap berpuak dalam parti itu gagal ditangani dengan berkesan.

Tentulah malang bagi SUPP, parti yang bermula dengan ideologi kiri tetapi berubah menjadi komponen BN yang kukuh dan dianggap mewakili masyarakat Cina Sarawak, jika berlaku sedemikian.

Bagaimanapun, berbeza dengan SNAP di mana kebanyakan pemimpin dan ahlinya boleh menyertai parti lain dalam BN yang menjaga kepentingan kaum Dayak, SUPP yang lemah akan menyebabkan masyarakat Cina beralih arah kepada DAP seperti dibuktikan pada pilihan raya negeri April lalu. — Berita Harian

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Comments