Side Views

Tahniah John Soh — Awang Selamat

19 FEB — Beberapa pendedahan pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin kebelakangan ini menarik perhatian ramai. Terbaru, aktivis pembangkang itu mendakwa kegagalan Anwar Ibrahim merampas kuasa menerusi rancangan 16 September 2008, adalah kerana peranan seorang tokoh perniagaan, John Soh Chee Wen. 

Menurut Raja Petra, John Soh enggan menyumbang RM300 juta seperti yang diminta oleh Ketua Pembangkang itu untuk digunakan bagi ‘membeli’ atau sebagai bayaran pendorong kepada 30 Ahli Parlimen. 

Anwar merancang untuk membayar RM10 juta kepada setiap seorang bagi membolehkan beliau mengambilalih tampuk pemerintahan negara. Dikhabarkan betapa beliau sangat terdesak berbuat demikian kerana antara lain mahu mengelak daripada perbicaraan kes liwat kedua. Bagaimanapun John Soh yang merupakan sahabat Anwar dan antara pembiaya utama PKR tidak bersetuju kerana ia bercanggah dengan demokrasi. Sejak itu hubungan mereka tidak lagi rapat sebelum John Soh akhirnya meninggalkan beliau. 

Awang angkat topi kepada John Soh. Tanpa disedari, peranan beliau cukup signifikan dalam menggagalkan cubaan rampasan kuasa 16 September yang ternyata membelakangkan rakyat. Begitu juga kepada Raja Petra yang berani mendedahkan banyak kepincangan Anwar dan PKR. Seperti menjadi harapan Awang dan ramai lagi warga negara, beliau hanya mahu menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin yang tiada kredibiliti dan integriti. Insya-Allah. — Utusan Online

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Comments