18 FEB — Keputusan untuk melupuskan aset perniagaan bukan teras milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk ditadbir atau diserah milik kepada syarikat Bumiputera berpotensi secara tender terbuka adalah langkah paling wajar dan tepat pada masanya.
Langkah itu yang diputuskan pada mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, sudah tentu dapat meningkatkan nilai ekuiti dan pegangan Bumiputera dalam sektor ekonomi. Hanya syarikat Bumiputera yang terbaik, kukuh dan berkemampuan saja akan dipilih memiliki syarikat bukan teras milik Khazanah dan PNB itu.
Langkah itu dengan sendirinya menandakan kerajaan menerusi MTAB semakin yakin dengan kemampuan syarikat Bumiputera yang ada ketika ini. Ia juga membuka peluang kepada syarikat terbabit untuk menyahut cabaran dan membuktikan mereka juga boleh sampai ke tahap lebih tinggi dalam sektor perniagaan di negara ini dan mampu meneroka pasaran antarabangsa jika diberikan dorongan dan galakan oleh kerajaan.
Pelupusan aset kedua-dua konglomerat berkenaan adalah satu daripada lima pendekatan baru yang diumumkan Perdana Menteri dan diperakukan MTAB bagi memperkukuhkan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera.
Menerusi inisiatif itu, kerajaan tidak lagi menyediakan “tongkat” kepada syarikat terbabit dengan menghulurkan kontrak sewenang-wenangnya tetapi sebaliknya menumpukan kepada usaha meningkatkan keupayaan pengurusan, teknikal dan kedudukan kewangan masing-masing.
Ini penting kerana selama ini kaedah pengurusan, teknikal dan kewanganlah yang menjadi punca masalah yang terus membelenggu keupayaan dan kemampuan daya saing syarikat Bumiputera. Selain itu, Perdana Menteri juga mengumumkan keputusan MTAB untuk menambah 50 lagi syarikat Bumiputera dalam program Teras di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), menjadikannya sebanyak 80 syarikat terpilih sebagai syarikat Teras, yang menjana pendapatan keseluruhan RM5 bilion.
Dalam usaha memajukan lagi daya saing syarikat Bumiputera yang menjalankan perniagaan kecil agar ditingkatkan ke tahap lebih tinggi, MTAB juga memutuskan supaya Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) dijadikan rakan kongsi TERAJU.
Syarikat Bumiputera juga digalakkan mengguna pakai aplikasi e-kerajaan untuk memasarkan produk di luar negara bagi membantu mereka menembusi pasaran global secara lebih meluas. Semua inisiatif ini ialah untuk memperkasakan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera selaras dengan penekanan diberikan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).
Sewajarnya peluang ini direbut masyarakat perniagaan dan perindustrian Bumiputera bagi melebarkan empayar perniagaan masing-masing. — Berita Harian
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.






