Tuhan demokrasi — Anuar Mohd Nor
10 JULAI — Politik kita tidak beredar jauh, masih di situ dalam persekitaran kemajuan rakyat dan kemodenan yang ada — kita masih terbantut dengan corak politik lama — bersifat feudal dan tergamam dengan kepimpinan. Betul kata Dr Mahathir baru-baru ini, kita taasub dengan pemimpin — menjadikan mereka lebih kurang tuhan lahiran demokrasi di dunia ini sebagaimana beliau juga pernah berada di tempat yang serupa.
Setelah mereka dilantik menjadi tuhan demokrasi, maka mereka akan terus membentuk senarai kehendakan ketuhanan mereka — mahu yang lain terus menjadi hamba dan penghormatan adalah kerana ketakutan dan ketidakadilan yang boleh mereka laksanakan. Ini menjadi salah satu punca — politik kita terus kaku — tidak terbentuk penghormatan dan respek terhadap tuhan demokrasi tadi melainkan ketakutan atas diskriminasi dan tekanan yang mampu mereka lakukan. Ini semua membentuk ketakutan dan ketakutan ini adalah nadi kepada kekuatan tuhan demokrasi tadi. Ukuran ketinggian martabat bukan dari kekuatan dan kecekapan mereka semata-mata tetapi kuasa yang kita hidangkan kepada mereka.
Ini yang menjadikan politik kita kian hari kian ganas. Kuasa yang kita hidangkan — sekiranya tercabar akan menjadikan tuhan demokrasi ini murka lantas bertindak untuk terus menguatkan diri dengan paksaan sajian kuasa kepada mereka. Mereka akan menggunakan kuasa yang ada untuk terus menekan supaya kita terus menghidangkan kepada mereka kuasa yang akan mereka gunakan juga untuk memberi kita sedikit kepalsuan untuk kita tatap.
Begitu juga mereka yang mahu menggantikan tuhan demokrasi ini. Mereka mencabar kuasa dan mereka mahu membentuk kuasa baru yang mana pengikut-pengikutnya turut mempunyai impian mahu menjadi tuhan dalam kerangka mereka sendiri. Kuasa adalah matlamat dan kuasa adalah hakikat yang dimahukan oleh mereka — baik yang memegang kuasa mahupun yang mencabar kuasa.
Bila tuhan yang memegang kuasa ini dan mencabar kuasa bertempur akhirnya kita terus tersungkur melainkan kita bersembahyang kepada tuhan demokrasi itu. Kita terpaksa menyembah dan budaya ini semakin menular dalam negara kita. Kekuatan mereka semakin hari semakin ganas sehinggakan usaha untuk merubah bukan satu yang mudah. Masing-masing dalam agenda tersendiri hasil dari interpretasi demokrasi yang semakin lama semakin mahu diluaskan tanpa batasan.
Bagaimana mereka tuhan demokrasi ini hidup adalah ditangan kita. Kita perlu menentukan agar yang dilantik bukan lagi tuhan demokrasi tetapi mereka hanya menjadi wakil untuk rakyat menentukan arah dan masa depan. Bagaimana ini boleh terlaksana? Kita tidak boleh membuang tuhan demokrasi begitu sahaja. Kita mempunyai banyak tentangan dari penyembah-penyembah tuhan tadi. Penyembah tuhan tadi sesat dan gagal membezakan lagi erti kebenaran dan keadilan. Interpretasi keadilan adalah sesuatu yang kini berkait dengan hasrat peribadi. Ini menyulitkan bila mana kuasa melibatkan kuasa mampu mengugut, mendiskriminasi dan memberi tekanan. Ini akan dirangkulkan dengan hasrat peribadi — kehendak yang tidak punya asas keluhuran yang mana akhirnya maruah sudah semestinya seakan hilang dalam politik negara ini. Selagi penyembah itu wujud — aliran kuasa yang terus bertakhta — biar untuk kebaikan atau untuk kejahatan yang dilakukan.
Penyembah ini akan terus menyembah dan kita yang sudah tidak lagi mahu menyembah akan di hentam oleh penyembah ini. Maka kita akan terus dibelasah, dipinggirkan dan adakalanya dipaksa merangkak dalam kemiskinan. Kita akan ditekan sehingga menerima tuhan demokrasi ini. Akhirnya ramai yang terpaksa menjadi penyembah kepada tuhan demokrasi ini.
Hari ini kita perlu tegas, perlu berani dan perlu ada kekuatan untuk menolak penyembah yang sudah tidak lagi mahu mengertikan kebenaran yang ada. Suara itu perlu tegas. Kuasa yang berpaksi ketidakadilan dan ketakutan perlu di buang. Kuasa memberitahu dan menyuarakan kebenaran perlu diangkat. Kematangan kita perlu dicabar untuk akhirnya menyedarkan tuhan ini bahawa penyembah-penyembah tadi sudah bergerak atas dasar kesedaran dan kesedaran itu akan memutuskan penerusan ketidakadilan untuk mempertahankan kuasa. Kematangan kita adalah jalan yang membuka semula ruangan luas untuk memastikan kita tidak tersungkur menjadi penyembah Tuhan Demokrasi ini. Andai tidak maka politik kita tidak berganjak dan kita akan terus hilang dalam membicarakan kemajuan kita.
Hari ini, kita masih tersangkut dalam kemelut penyembah tuhan kelahiran demokrasi ini yang akan membantut perkembangan dan kematangan berpolitik. Sekiranya kita masih terikat sebagai penyembah dan tersangkut kepada rezeki yang kononnya datang dari tuhan demokrasi ini maka kita akan terus kaku dalam menjadikan agenda rakyat — agenda utama. Kita harus mula membentuk kesedaran — mematangkan fikiran dan tidak tunduk pada penjualan maruah demi menyalurkan kekuatan kepada tuhan demokrasi ini. Mampukah kita melakukannya?
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.




