Side Views

Umno akan terus gagal memperjuangkan Melayu — Aspan Alias

28 MAC — Sejak saya mengambil keputusan menyertai pihak alternatif melalui Parti Tindakan Demokratik (DAP) banyak rakan-rakan yang datang menemui saya untuk bertanya berbagai-bagai persoalan tentang tindakan saya itu.

Rata-rata yang datang bertanya itu adalah dikalangan mereka yang telah berkawan dan bersahabat dengan saya sejak puluhan tahun dahulu. Rakan-rakan yang jauh bertanya kepada saya melalui emel dan talipon dan memahami saya setelah saya memberikan kefahaman yang sebetulnya.

Apa yang saya nampak mereka lebih bertanya kenapa saya memilih untuk tidak lagi bersama Umno. Jarang-jarang mereka bertanya kenapa pilih DAP kerana mereka juga memahami yang DAP itu adalah sebuah parti yang berpengalaman dan telah berusia hampir lima dekad lamanya.

Mereka memahami yang DAP telah melalui semua ujian dan dugaan untuk “survival” nya kerana tekanan dan momokan oleh pihak pemerintah terhadap parti itu tidak henti-henti dilakukan oleh pihak yang takut dengan perkembangan pengaruhnya, lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir ini.

Ramai mahukan saya memberikan mereka sebab kenapa tidak lagi mahu bersama Umno. Ada setengahnya saya jawab sambil berjenaka dan ada kalanya saya menjawab dengan serius dan memberikan dalil-dalil yang Umno akan berada dalan persada politik negara hanya sebentar sahaja lagi. Ramai di antara mereka telah pun memberikan sokongan moral kepada saya dan mereka tidak lagi menyimpan sebarang prejudis terhadap DAP lagi.

Tidak ada siapa yang melonggarkan sokongan ramai terhadap Umno itu, sebaliknya semuanya disebabkan oleh “conduct” Umno itu sendiri. Umno itu kian lemah bukan kerana pihak lain. Sebenarnya Umno itu sendiri seolah-olah terminta-minta parti itu ditinggalkan oleh ahlinya, setidak-tidaknya kepada mereka yang berfikir secara mendalam.

Kenapa saya berkata Umno itu sendiri terminta-minta untuk ditinggalkan?

Pertamanya, Umno telah menyalahgunakan mandat yang diberikan oleh rakyat sebegitu lama sehinggakan apa sahaja yang dilakukan Umno sekarang menjadi persoalan kepada rakyat ramai. Oleh kerana terlalu lama memegang kuasa, Umno sudah mengambil kelembutan orang Melayu dan rakyat “for granted” kerana mereka berfikiran yang orang Melayu tidak akan pergi kemana dan akan terus menyokong Umno walaupun Umno telah membinasakan peluang orang Melayu untuk maju dalam dunia yang serba berubah dan moden ini

Umno memandang rendah kepada ahli-ahlinya serta rakyat jelata yang mereka akan tetap berkuasa, waimma setelah memperkosa harta rakyat melalui budaya kronism yang telah begitu kental terbentuk dalam negara ini. Pendeknya Umno telah mengambil kelembutan hati orang Melayu sebagai kelemahan yang boleh diperkosa dan dinoda tanpa reaksi negatif dari mereka.

Di mana letaknya kemunasabahan yang orang Melayu masih tercicir sedangkan negara ini diperintah oleh Umno sejak negara mencapai kemerdekaan 54 tahun yang lalu? Kenapa Umno gagal untuk melaksanakan dasar-dasar yang terbentuk pra-Dr Mahathir  Mohamad yang begitu kukuh dengan sokong setiap kaum dinega ra ini? Kenapa Umno tidak melakukan pelaksanaan kepada dasar memperkukuhkan orang Melayu dengan sempurna.

Apa lagi yang Umno mahukan kepada orang Melayu sedangkan orang Melayu telah memberikan segala sokongan kepada Umno sejak merdeka sehingga tahun 2008 dahulu apabila orang Melayu sudah mula merasakan yang Umno tidak mungkin berjaya membela bangsanya lagi? Sekarang ahli-ahli Umno menyalahkan bangsa lain dan parti lain pula di atas segala kegagalan mereka.

Segala-galanya, kuasa, sokongan dan kesabaran Melayu dan rakyat keseluruhannya itu diambil kesempatan untuk membina budaya kronism untuk kepentingan perut dan nafsu-nafsi pimpinan sahaja. Sekarang mundar mandir kembali Perdana Menteri menabur janji dan mengingatkan orang Melayu supaya memberikan sokongan kepada parti Melayu Umno ini demi masa depan orang Melayu.

Bukankah semuanya itu telah diberikan oleh orang Melayu tetapi kenapa Umno masih tidak berjaya melakukan sesuatu yang berkesan untuk Melayu yang ramai ini? Sebaliknya parti itu hanya memberikan keuntungan kepada segelintir yang berada dikeliling pimpinan atasan sahaja. Kalau diberikan lagi mandat ini, kita sudah pasti keadaan akan masih sama malah orang Melayu akan ketinggalan dari segi pemikiran dan persepsi terhadap kehidupan secara negatif.

Setengah abad adalah terlalu lama untuk membiarkan Umno memerintah dan waktu untuk Umno duduk dipetak pembangkang sudah sampai supaya Umno tahu dan merasakan betapa pedihnya perasaan rakyat khususnya orang Melayu selama ini. Orang Melayu sudah bersabar begitu lama dan tahap kesabaran mereka sudah sampai kepenghujungnya.

Apa yang ramai orang Melayu sekarang berfikir ialah selagi Umno masih memerintah selagi itulah pemikiran orang Melayu akan jumud terus menerus dan memerhatikan sahaja bangsa-bangsa lain maju kehadapan. Ketinggalan kita itu pula dimainkan untuk memberikan harapan palsu untuk Umno mendapatkan sokongan dari orang Melayu, tetapi orang Melayu sudah tidak boleh dikotak-katikkan seperti yang selalu mereka alami.

Ramai diantara orang Melayu sudah mula memahami keadaan yang mereka tidak akan pergi kemana jika masih memberikan dukungan kepada Umno kali ini. Orang Melayu sudah menyedari mereka tidak boleh lagi menagih ehsan dari pimpinan Umno seperti menerima RM500 semasa pilihanraya mendatang kerana jiwa Melayu sekarang sudah mula bertambah kaya dan tidak mahu lagi dalam jiwa yang fakir dan jumud.

Ramai orang Melayu sedar bahawa mereka perlu memecahkan tembok yang menghalang mereka untuk berfikir dan bertindak semata-mata untuk generasi mereka yang akan datang. Melayu tidak boleh lagi bergantung kepada perasaan sentimen terhadap Umno kerana Umno yang sebenarnya pun sudah tidak wujud lagi. Orang Melayu sudah merasakan nikmat bersatu padu ini semasa era sebelum Dr Mahathir dahulu.

Maka orang Melayu kini mahu bersatu padu dengan jitu diluar Umno kerana Melayu sekarang sudah berjumpa dengan pilihan yang secara relatifnya lebih baik diluar Umno itu.

Orang Melayu mahu melepaskan diri mereka dari dikongkong oleh perasaan sentimen terhadap parti yang kononnya berjuang untuk Melayu. Orang Melayu sudah sedar setelah lebih dari lima dekad diperhambakan oleh pemimpin-pemimpin parti mereka yang tidak berkemampuan untuk memimpin bangsanya selain dari pandai memerah harta benda rakyat untuk kepentingan ahli-ahli keluarga mereka semata-mata.

Kepada setengah yang menyertai Umno itu kerana hendak menjadikan modal perniagaan dan bukannya untuk memperjuangkan nasib bangsa sendiri. Oleh kerana itu biarlah mereka sahaja yang bergiat dengan Umno itu. Bagi sesiapa seperti saya yang “having no business to be in business” ini meninggalkan parti itu.

“Akhirnya saya bertindak keluar dan menukar wadah saya. Saya bukannya bertukar akidah” kata saya kepada mereka. — aspanaliasnet.blogspot.com

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Comments