Umno: Bermasalah dengan rakyat, bermasalah sesama sendiri — Aspan Alias
11 SEPT — Saya hendak menyambung apa yang saya tulis dalam posting saya semalam. Saya telah membuat komen tentng pandangan Dr M yang Pakatan Rakyat akan memerintah lama jika menang dalam pilihanraya yang ke-13 nanti. Pandangan itu adalah pandangan yang sangat natural. Jika PR diberikan mandat ke Putrajaya, rakyat akan selalunya memberikan setidak-tidaknya dua penggal untuk memerintah.
Dalam pada itu Umno dan BN yang menjadi pembangkang pula mempunyai masa untuk memperbaiki diri dan belajar menjauhi diri dari segala dosa dan noda yang telah mereka lakukan terhadap rakyat. Pakatan Rakyat pula akan menjadi perhatian rakyat dan sebagai sebuah komponen yang telah melalui liku-liku yang memeritkan untuk memperbaiki siasah dan politik negara tentalah PR akan lebih berhati-hati dalam menguruskan pentadbiran negara.
Rakyat semakin hari semakin pandai dan matang dan PR tentulah bersedia untuk melengkapkan diri untuk mentadbir rakyat yang kian hari kian celek dalam segala-galanya. Dengan itu akan wujudlah sistem dua parti yang akan memberikan rakyat segala kuasa penentu untuk masa depan negara.
Tetapi apa yang dikatakan oleh Dr M yang PR akan memerintah lama itu ada kebenarannya. Umno yang tidak pernah duduk di kerusi pembangkang amat susah untuk memperbaiki diri kerana mereka tidak pernah merasakan kesusahan. Saya selalu membandingkan nilai di antara pembangkan seperti PAS bersama DAP itu dengan Umno ibarat ‘ayam kampong dengan ayam daging’.
Umno saya anggap sebagai ayam daging kerana ahli-ahli Umno tidak berkemampuan untuk hidup tanpa diberi makan oleh tuannya. Ayam daging tidak berhenti mematuk makanan dan apabila dikeluarkan dari rebannya ayam itu akan mati dalam masa yang singkat. Sebaliknya orang PAS boleh diibaratkan sebagai ayam kampong kerana mereka pandai mencari makanannya sendiri. Itu sebabnya ayam kampong harganya lebih tinggi dari ayam daging. Dagingnya lebih manis dan tidak mudah hancur apabila direndang di dalam kuali walaupun berjam-jam lamanya.
Oleh itu jika Umno gagal untuk mendapatkan mandat kali ini, parti itu tidak akan dapat meneruskan perjuangannya yang tidak menentu itu lagi. Itulah sebabnya mereka dalam Umno khususnya yang besar-besar begitu runsing memikirkan keadaan mereka selepas pilihanraya nanti. Mereka lebih memikirkan peribadi mereka dan tidak ada masa untuk memikirkan masa depan negara.
Umno kehilangan kepimpinan sejak Mahathir mengenepikan semua pemimpin-pemmpin berwibawa secara sistematik semasa beliau menjadi PM yang sebegitu lama, sehinggakan yang tinggal hanyalah mereka yang tidak sepatutnya berada di dalam barisan kepimpinan. Apabila mereka mendapat jawatan dan tanggungjawab mereka keliru dan tidak mengetahui apa sebabnya mereka berada di tempat yang diberikan itu.
Itu sebabnya kita lihat yang pandai membuat kasut disuruh membuat songkok dan yang mahir membuat songkok disuruhnya membuat kasut. Itu pun yang Mahathir mahukan kerana beliau lebih mementingkan kedudukan peribadi beliau sahaja. Yang berkepimpinan di setiap peringkat tidak mendapat perhatian parti dalam proses membina kepimpinan parti untuk jangka masa yang panjang.
Kalau pun Umno hendak membina kepimpinan baru dengan menonjolkan calon-calon yang boleh menang sekali pun sudah tidak menjadi, kerana parti itu sendiri sudah tidak ‘winnable’ lagi.
Masalah yang lebih besar ialah masalah dalaman yang berlaku di dalam Umno sekarang ini. Di kalangan pemimpin-pemimpin tinggi Umno sendiri tidak semua yang merasa senang dengan cara Najib mentadbir negara. Itulah sebabnya kita mendengar banyak desas-desus di kalangan kepimpinan Umno yang mahukan Najib berundur dan memberikan Muhyiddin menerajui parti menghadapi pilihanraya kali ini.
Usaha setengah pemimpin Umno itu memang ada, dan ia memberi makna mereka mahukan Muhyiddin mengambil alih jawatan yang dipegang oleh Najib sebelum pilihanraya nanti…kononnya untuk memastikan kemenangan BN sekali lagi kali ini.
Dalam keadaan sekarang Umno terutamanya Najib terpaksa mengdapi musuh dari luar yang boleh dilihat dengan nyata, tetapi yang paling membimbangkan beliau sepatutnya ialah untuk menghadapi musush dari dalam yang lebih merbahaya.
Musuh-musuh Najib dari dalam itu ibarat harimau yang sentiasa menghendap dan menunggu masa untuk menerkam Najib dan kalau boleh tepat pada tengkoknya. Ia akan berlaku pada bila-bila masa sahaja. Pada kumpulan ini, tatacara untuk pengambilalihan kepimpinan Umno dari Najib itu sudah tersedia lama dahulu, iaitu semasa Najib mengambil alih kepimpinan dari Pak Lah dahulu lagi.
Masa untuk mengimplimentasikan tatacara itu sudah hampir tiba. Masanya sudah masak dan hanya menunggu masa dan saatnya sahaja.
Isu ini boleh kita kupas jika tidak ada halangan dalam posting-posting yang akan datang. — aspanaliasnet.blogspot.com
* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.




