6 FEB — Apabila Biro Politik PAS yang bermesyuarat minggu lalu memutuskan untuk meminta Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertanding sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Sebaliknya, PAS terpaksa berbuat demikian untuk mengelakkan sebarang tafsiran buruk seandainya mereka merestui hasrat Abdul Hadi untuk berundur. Namun untuk rekod, jika kenyataan Abdul Hadi dikaji ia boleh menimbulkan tafsiran bahawa beliau bukan ingin bersara secara mutlak.
Kalau Abdul Hadi ingin berundur sudah pasti beliau akan secara terbuka memaklumkan tidak akan bertanding di mana-mana kerusi sama ada kerusi Parlimen mahupun DUN dalam pilihan raya umum akan datang. Tetapi Presiden PAS seperti juga pemimpin-pemimpin parti itu yang lain akan menggunakan alasan ''jika parti mengkehendaki'' dalam apa juga keputusan mereka.
Soalnya, Abdul Hadi memegang jawatan Presiden, tak mungkin Biro Politik yang bermesyuarat akan menyatakan kepada beliau, ''kami merestui keputusan beliau untuk tidak bertanding."
Kecualilah Abdul Hadi berkata, beliau ingin mengundurkan diri daripada kerusi Presiden dan tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, justeru beliau serahkan kepada PAS untuk mencari penggantinya.
Tetapi Abdul Hadi tidak berbuat demikian kerana memahami kalau pun beliau mahu berundur, siapakah yang akan menggantikan beliau?
Dalam keadaan PAS sedang berhadapan dengan pelbagai krisis termasuk identiti, parti itu sudah tentulah tidak mahu menambah satu lagi masalah dengan mengizinkan Abdul Hadi berundur.
Oleh itu mahu tidak mahu, biar pun Abdul Hadi dilihat seorang presiden yang tidak cemerlang berbanding presiden-presiden PAS sebelum ini namun parti itu tidak ada pilihan.
Hakikatnya jika dikaji dari segi kedudukan dan situasi PAs sejak pilihan raya umum 2008, Abdul Hadi sememangnya layak untuk berundur, bukan sahaja kerana sudah lama berada dalam arena politik tetapi juga kegagalan beliau memimpin PAS menjadi sebuah parti yang konsisten dalam perjuangan.
Perubahan dasar perjuangan parti itu daripada memperjuangkan negara Islam kepada negara berkebajikan turut dikaitkan dengan kelemahan kepimpinan Abdul Hadi.
Walaupun ramai pengikut PAS menyatakan Abdul Hadi tidak boleh disalahkan kerana keputusan untuk mengubah dasar berkenaan dibuat oleh parti tetapi ada juga pandangan yang bertanya, kenapakah Abdul Hadi tidak menggunakan pengaruhnya untuk menghalang perubahan berkenaan.
Apa yang mengecewakan ramai orang termasuk penyokong PAS adalah bagaimana kedudukan parti itu yang kini bukan lagi sebuah parti yang digeruni oleh kawan mahupun lawan.
Sebaliknya PAS menjadi satu-satunya parti “pak turut” dalam arena politik tanah air, parti itu dilihat menurut sahaja apa kehendak Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Turut diperkatakan bagaimana Abdul Hadi tidak berusaha untuk membela nasib Datuk Dr Hasan Ali yang sanggup berundur daripada PAS semata-mata tidak rela tunduk kepada kemahuan dan nafsu politik kedua-dua parti berkenaan.
Justeru kelemahan kepimpinan Abdul Hadi turut dikaitkan dengan keadaan itu biar pun semua orang tahu bahawa segala-galanya kerana semakin hebat cengkaman pengaruh Anwarinas dalam PAS.
Sebenarnya, banyak lagi perkara berkaitan PAS yang dikaitkan dengan kelemahan kepimpinan Abdul Hadi sehingga ada kalangan penyokong PAS sendiri merasakan memang wajar beliau berundur.
Walaupun dari satu segi, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat “jauh lebih layak” untuk terlebih dahulu berundur berbanding Abdul Hadi dari segi faktor umur dan tindakan Menteri Besar Kelantan itu yang dikatakan banyak “menyusahkan” PAS berikutan kenyataan-kenyataannya tetapi tiada siapa pun dalam PAS yang berani menyuruh Nik Abdul Aziz berbuat demikian.
Ia memandangkan Nik Abdul Aziz dilihat jauh “lebih bernilai” berbanding dengan Abdul Hadi. Ini kerana biar pun memegang jawatan mursyidul am, Nik Abdul dikatakan mempunyai pengaruh yang besar dalam PAS dan mengatasi kewibawaan Abdul Hadi.
Ini jelas apabila di mana-mana pun di kalangan penyokong PAS mereka lebih menyanjungi Nik Abdul Aziz berbanding Abdul Hadi, sebab itu ada pelekat kereta yang memaparkan karikatur wajah Nik Abdul Aziz, kemeja T dan pelbagai lagi cenderahati wajah Mursyidul Am itu.
Semua itu berlaku kerana pengaruh Nik Abdul Aziz jauh lebih hebat berbanding Abdul Hadi dalam PAS sebab itulah ramai penyokong PAS tidak begitu memberi reaksi apabila bekas Menteri Besar Terengganu itu melahirkan hasrat untuk berundur.
Mungkin bagi mereka, PAS tidak rugi atau untung apa-apa kalau Abdul Hadi berundur memandangkan beliau tidaklah kuat di Terengganu dan tidak begitu berpengaruh di seluruh negara.
Ini berbeza dengan Nik Abdul Aziz yang dilihat masih menjadi modal untuk PAS bertahan di Kelantan dan mempunyai ramai pengikut di seluruh negara. Tambahan pula tanpa Nik Abdul Aziz, PAS mungkin tidak akan dilihat mempunyai apa-apa keistimewaan lagi.
Selama ini, PAS menjadi sebutan kerana tindak-tanduk Nik Abdul Aziz bukannya Abdul Hadi. Oleh itu kalaulah Abdul Hadi berundur ia tidak mempunyai apa-apa kesan kepada PAS.
Selain itu, Abdul Hadi juga dikatakan dibayangi oleh Nik Abdul Aziz dalam perkara-perkara berkaitan dengan PAS.
Oleh itu timbullah persoalan siapa sebenarnya lebih berkuasa Mursyidul Am atau Presiden?
Cuma apa yang menjadi masalah kepada PAS ialah untuk mencari pengganti seorang ulama seperti Abdul Hadi bagi memegang jawatan Presiden.
Abdul Hadi dilihat ibarat “lelaki Melayu terakhir” daripada golongan ulama yang berada di kedudukan berkenaan, jika beliau berundur tiada lagi pemimpin daripada golongan berkenaan yang akan mengisi jawatan tersebut.
Apatah lagi jika dikaji barisan kepimpinan PAS, Abdul Hadi satu-satunya ulama yang berada di kedudukan strategik memandangkan jawatan Timbalan Presiden dan naib-naib Presiden disandang oleh golongan profesional.
Tidak usahlah kita bercakap soal Majlis Syura apatah lagi Dewan Ulama memandangkan kesemua mereka yang berada di majlis atau dewan tersebut sudah “semakin uzur” untuk menjadi pemimpin utama PAS.
Justeru mahu tidak mahu, buat sementara waktu ini, PAS terpaksa meminta Abdul Hadi terus bertanding kerana dari satu segi beliau masih mempunyai sedikit pengaruh.
Ia terutamanya untuk mempertahankan ulama sebagai pemimpin nombor satu PAS. Jika Abdul Hadi berundur sudah pasti belum tentu golongan berkenaan akan menjadi peneraju.
Keadaan itu berlaku kerana dalam PAS sekarang, golongan ulama semakin tertinggal daripada arus kepimpinan utamanya.
Bagaimanapun ada pula yang mentafsirkan Abdul Hadi ingin berundur kerana berasa tertekan dengan situasi dalam PAS sekarang, apabila suara ulama semakin dipinggirkan.
Namun begitu kita tidak boleh membuat andaian kerana Abdul Hadi sahaja tahu kenapa beliau membuat kenyataan berhubung kedudukannya.
Tetapi apa yang pasti sama ada Abdul Hadi masih bertanding atau tidak dalam pilihan raya umum akan datang, ia tidak membawa apa-apa signifikan kepada perjuangan PAS selagi parti itu bekerjasama dengan PKR dan DAP. — Utusan Malaysia
* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.






